Sirah Amal BIBD dekati golongan susah

Sirah Amal BIBD dekati golongan susah

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – BIBD hari ini mengakhiri lawatan terakhir Program Tahunan Sirah Amal BIBD dengan kunjungan ke hampir 20 keluarga kurang bernasib baik di Kuala Belait.

Memandangkan musim perayaan akan menjelang tidak lama lagi, inisiatif itu, yang dianjurkan untuk hampir 100 buah keluarga di keempat-empat daerah di Brunei Darussalam, diharapkan akan menyediakan sokongan dan keselesaan terutamanya dengan bulan Ramadan dan Syawal yang sudah hampir.

Menurut kenyataan BIBD, inisiatif tersebut bermula pada 30 Mei dengan kunjungan ke keluarga di Temburong dan diteruskan setiap minggu untuk memberikan sokongan kepada keluarga-keluarga di kesemua daerah lain. Ia mencerminkan komitmen BIBD “Bruneian at Heart” untuk komuniti.

Menerusi lawatan Sirah Amal tahunan keenam ini, BIBD melawat rumah keluarga di Belait, Temburong, Tutong dan Brunei Muara dalam jumlah empat kunjungan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bank untuk menyumbang bakti kepada komuniti tempatan.

Keluarga kurang bernasib baik yang terpilih, yang dikenal pasti oleh NGOs tempatan, diberikan sumbangan dalam bentuk hamper makanan dan keperluan harian lain.

Kakitangan BIBD abadikan kenangan bersama keluarga yang mereka kunjungi semasa Program Sirah Amal di Kuala Belait, kelmarin.
Kakitangan BIBD abadikan kenangan bersama keluarga yang mereka kunjungi semasa Program Sirah Amal di Kuala Belait, kelmarin.

Mengulas mengenai inisiatif amal ini, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat BIBD, Hjh Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar berkata, mengambil berat atau memeduli komuniti sentiasa menjadi nilai teras BIBD.

“Alhamdulillah, kami cuba menghulurkan bantuan serta menolong lebih ramai orang dengan aktiviti tahunan kami seperti inisiatif Sirah Amal ini. Kami percaya semua orang harus mempunyai peluang untuk berseronok pada bulan-bulan perayaan dan pada masa yang sama ia juga melambangkan satu peluang untuk berkongsi rahmat kami.

“Ia juga merupakan masa yang istimewa, apabila penduduk beragama Islam di seluruh dunia menilai sejenak rutin harian mereka dan menumpu pada komuniti dan insyaAllah, saya berharap kami akan diberkati pada Ramadan ini.”

Menekankan nilai-nilai dan kepercayaan Islam, kakitangan BIBD dilihat bekerjasama untuk memastikan kunjungan ke semua keluarga berjalan dengan lancar dengan harapan dapat meringankan bebanan keluarga yang kurang bernasib baik.

“Kami rasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh keluarga BIBD kepada komuniti Brunei. Peranan kami sebagai bank terkenal di Brunei juga dilanjutkan kepada warga Brunei untuk menyokong keperluan dan cita-cita mereka,” tambah Hajah Nurul Akmar.

ARTIKEL YANG SAMA