Siri Ceramah ke-4 GOG UBD, 9 April ini

Siri Ceramah ke-4 GOG UBD, 9 April ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Industri kreatif negara masih memerlukan penyertaan daripada lebih ramai pengusaha tempatan termasuk golongan belia yang mana ia bukan sahaja mampu untuk menjana perisian industri kreatif yang lebih inovatif malahan mengembangkan serta menggalakkan pembangunan industri berkenaan yang mempunyai ciri-ciri budaya dan falsafah negara.

Oleh itu, menggalakkan kegiatan kreatif dan inovasi serta mencetus budaya inovasi dalam kalangan masyarakat termasuk golongan belia akan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih mapan.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Siswazah Universiti Brunei Darussalam (GOG UBD) akan mengadakan Siri Ceramah ke-4 pada 9 April nanti di Inspiring Hall, Pusat Pelajar, UBD, dengan tumpuan ceramah adalah berhubung dengan industri kreatif tempatan dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir ke sesi ceramah percuma itu.

Siri Ceramah itu bakal mengetengahkan dua orang penceramah awam yang berpengalaman iaitu Awang Harliff bin Mohammad dari Regal Blue Production dan Awang Syen Sofian dari Syen Sai Mediabase, di mana mereka berdua terlibat secara aktif dalam industri kreatif.

Siri Ceramah itu merupakan seminar pendidikan yang bertujuan untuk membantu alumni dan para pelajar universiti membangunkan keyakinan, kemahiran, dan menanamkan idea-idea akan persekitaran kerja dalam dunia perniagaan.

Ia bermatlamat untuk memberi sokongan dan sumbangan kepada masyarakat UBD dan memupuk persediaan para graduan dalam kerjaya masing-masing serta membantu universiti untuk melahirkan graduan profesional yang serba boleh.

Selain daripada itu, ia juga adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan ilmu akademik dan bukan akademik serta kemahiran kurikulum tambahan untuk para graduan bagi memasarkan diri mereka kepada majikan yang berpotensi, memberi pendedahan kepada para graduan tentang kemahiran dan pengetahuan mengenai pembangunan kerjaya di luar kehidupan universiti serta menggalakkan alumni, pelajar dan profesional yang bekerja untuk membina rangkaian dan berkongsi pengetahuan.

ARTIKEL YANG SAMA