Siri ceramah ke-5 GOG-UBD, 27 Ogos ini

Siri ceramah ke-5 GOG-UBD, 27 Ogos ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Persatuan Siswazah Universiti Brunei Darussalam (GOG-UBD) akan menganjurkan Siri Ceramah ke-5 yang akan berlangsung di Inspiring Hall, Pusat Pelajar UBD, pada 27 Ogos depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, siri ceramah berkenaan merupakan seminar pendidikan yang akan mengetengahkan penceramah-penceramah terbaik dan berpengalaman Brunei untuk berkongsi idea mengenai persekitaran kerja dalam dunia perniagaan dan bermatlamat membantu alumni dan mahasiswa universiti membangunkan keyakinan dan kemahiran mereka.

Matlamatnya adalah untuk memberikan sokongan berterusan dan sumbangan kepada masyarakat UBD, untuk mewujudkan kesedaran tentang pentingnya pengetahuan bukan ilmiah dan kemahiran luar kurikulum bagi siswazah dan pelajar-pelajar memasarkan diri mereka sendiri kepada bakal-bakal majikan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan semangat persiapan bagi kerjaya mereka, untuk membantu pihak universiti melahirkan siswazah profesional yang lengkap, dan untuk memberikan pendedahan para pelajar dan siswazah tentang kemahiran penting dan pengetahuan perkembangan kerjaya di luar kehidupan universiti. Di samping itu, untuk menggalakkan alumni, pelajar-pelajar dan profesional kerja lain untuk berhubung, mewujudkan rangkaian kerja dan berkongsi pengetahuan.

Siri ceramah berkenaan akan disampaikan oleh Ketua Pengurusan Risiko, PB Trading Sdn Bhd, Awang Mohammad Sophiaan untuk mengongsikan pengetahuan luasnya berhubung pengurusan risiko dan amalan terbaiknya. Seminar ini akan dibukakan kepada semua ahli-ahli GOG-UBD dan Persatuan Mahasiswa/Mahasiswi UBD (PMUBD) serta orang ramai.

Untuk mendaftar atau mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung siri ceramah ini, boleh menghubungi Eksekutif Publisiti dan Maklumat GOG, Dayang Nur Syifa ‘Aliyah melalui e-mel ubd.guildalumni@gmail.com atau ikuti akaun Instagram GOG di ubd_guildofgraduates

ARTIKEL YANG SAMA