Siri setem sungai terpanjang M’sia bakal dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem pertama bertemakan tiga sungai terpanjang di Malaysia.

Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah berkata tiga sungai terpanjang itu adalah Sungai Rajang di Sarawak, Sungai Kinabatangan, Sabah dan Sungai Pahang, Pahang.

Beliau berkata daripada ketiga-tiga sungai yang pertama kali diketengahkan dalam siri setem itu, Sungai Rajang adalah sungai terpanjang di negara ini de-ngan jarak 563km dan ia terpilih sebagai lembaran mini terpanjang yang pernah dihasilkan Pos Malaysia.

“Terdapat hanya 200,000 keping bagi setiap reka bentuk, 28,000 keping Sampul Surat Hari Pertama (SSHP), 25,000 keping Lembaran Mini dan 2,000 keping folder,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata setem itu boleh didapati di pejabat pos di seluruh negara bermula 27 Februari.

Kakitangan Pos Malaysia Aszlin Sharein Asri menunjukkan siri setem terbaharu yang menampilkan tiga sungai terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Pahang, Sungai Kinabatangan (Sabah) dan Sungai Rajang (Sarawak) yang boleh didapatkan di semua pejabat pos di seluruh negara mulai Selasa ini. – Bernama

“Dalam siri ini, setem yang ditampilkan memaparkan ilustrasi pandangan atas bawah sungai-sungai kedua dan ketiga terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Kinabatangan (560km) dan Sungai Pahang (459km). Kedua-duanya bernilai 80 sen dan 60 sen.

“Sungai terpanjang antara ketiga-tiga sungai ini, Sungai Rajang akan dikeluarkan dalam bentuk Lembaran Mini yang juga merupakan Lembaran Mini terpanjang yang pernah dihasilkan oleh kami,” katanya.

Produk lain filateli seperti sampul surat hari pertama dengan brosur percuma dijual dengan harga 55 sen setiap satu manakala set lengkap siri tersebut berharga RM40.70.

Sementara itu, pengumpul setem dari United Kingdom, Mike Kingslang, 73, berkata beliau mula mengumpul setem sejak 1973 dan mempunyai koleksi setem sempena kemerdekaan pada 1957.

“Saya datang ke Malaysia setahun sekali, dan satu kemestian bagi saya untuk datang dan membeli setem yang dikeluarkan. Saya sangat kagum dengan reka bentuk yang dihasilkan,” katanya. – Bernama