Sisi lulus undang-undang antipengganas

Sisi lulus undang-undang antipengganas

KAHERAH, 17 Ogos (Reuters) – Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi semalam meluluskan undang-undang antipengganas sekali gus menubuhkan mahkamah khas dan menyediakan perlindungan ke atas para penguat kuasanya berikutan pemberontakan selama dua tahun yang bertujuan menggulingkan kerajaan.

Undang-undang tersebut turut menggariskan bentuk hukuman bagi beberapa jenayah pengganasan bermula dari tempoh lima tahun penjara sehingga kepada hukuman mati.

Ia turut melindungi mereka yang melaksanakan hukuman itu, seperti polis dan tentera, daripada sebarang kerumitan berkaitan pelaksanaan perundangan terbabit. Sisi mengikrarkan sistem perundangan yang lebih ketat pada Julai, selepas serangan bom kereta yang mengorbankan pendakwa raya awam tertinggi, pegawai negara peringkat tertinggi yang menjadi mangsa pembunuhan.

Membentuk atau mengetuai kumpulan yang dilihat sebagai “entiti pengganas” oleh kerajaan akan dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Keanggotaan dalam kumpulan seumpama itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Presiden Abdel Fattah al-Sisi ketika berucap dalam salah satu acara membabitkan anggota pasukan keselamatan di Kaherah, Mesir. – AFP
Presiden Abdel Fattah al-Sisi ketika berucap dalam salah satu acara membabitkan anggota pasukan keselamatan di Kaherah, Mesir. – AFP

Membiayai “kumpulan pengganas” juga akan berdepan hukuman penjara seumur, yang di Mesir tempohnya adalah 25 tahun. Mengapi-apikan keganasan, yang termasuk “mempromosi idea yang menggesa keganasan” akan menjurus kepada hukuman penjara di antara lima dan tujuh tahun, sama seperti menggunakan laman sesawang yang menyebarluaskan idea seumpama itu.

Para wartawan akan dikenakan hukuman denda kerana menyiarkan berita yang bertentangan dengan versi pihak berkuasa mengenai sebarang serangan pengganas. Mesir berdepan dengan pemberontakan ganas di Sinai Utara, di mana kumpulan militan paling aktif mengikrarkan sokongan kepada Negara Islam (IS). Kaherah dan bandar-bandar lain juga turut menyaksikan beberapa serangan.

ARTIKEL YANG SAMA