Sisi tolak ‘propaganda’ kumpulan IS

Sisi tolak ‘propaganda’ kumpulan IS

MOSCOW, 3 Nov (AFP) – Presiden Mesir menolak dakwaan bahawa pesawat penumpang Rusia yang telah dijatuhkan oleh sebuah cabang kumpulan Kerajaan Islam (IS) sebagai propaganda, selepas pihak penerbangan itu berkata nahas itu yang telah mengorbankan kesemua 224 orang penumpang di dalamnya adalah disebabkan faktor-faktor ‘luaran’.

Analisis ke atas kotak hitam yang boleh menyelesaikan misteri tentang apa yang telah berlaku kepada pesawat udara itu, dijangka bermula hari ini menurut para pegawai Mesir. Suruhanjaya kerajaan Rusia yang menyelia penyiasatan ke atas nahas itu juga dijangka mengadakan pertemuan.

Kenyataan Presiden Abdul Fattah al-Sisi dibuat ketika seorang pegawai tertinggi perisikan AS berkata ‘tidak mungkin’ IS terlibat dalam nahas pesawat udara Kogalymavia Airbus A-321 di semenanjung Sinai pada Sabtu lalu.

“Apabila wujud propaganda bahawa ia terhempas kerana ISIS, ini adalah satu cara untuk merosakkan kestabilan dan keselamatan Mesir dan imej Mesir,” Sisi memberitahu BBC, dengan menggunakan akronim alternatif bagi IS.

“Percayalah, situasi di Sinai – terutamanya di kawasan terbatas ini – di bawah kawalan penuh,” ujarnya.

Anggota tentera Mesir mendekati ekor bangkai pesawat Rusia yang terhempas di Sinai. – Agensi
Anggota tentera Mesir mendekati ekor bangkai pesawat Rusia yang terhempas di Sinai. – Agensi

Kaherah dan Moscow tidak memandang serius dakwaan cabang IS, Mesir bahawa ia telah menjatuhkan pesawat udara itu yang dalam perjalanan menuju St Petersburg di Rusia dari peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh.

Dan semalam Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, James Clapper berkata sementara dia tidak boleh menolak penglibatan IS, dia berpendapat itu adalah ‘tidak mungkin’.

“Kami tidak mempunyai sebarang bukti langsung tentang sebarang penglibatan pengganas lagi,” katanya.

Para penyiasat sedang meneliti semua kemungkinan punca ketika mereka menyelidiki tempat nahas yang letaknya terpencil itu, sebagai sebahagian penyiasatan diketuai Mesir ke atas bencana itu yang juga melibatkan pakar-pakar dari Rusia, Airbus dan Ireland, tempat pesawat udara itu didaftarkan.

ARTIKEL YANG SAMA