Sisik tenggiling bernilai RM100 juta dirampas

KOTA KINABALU, 11 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah mematahkan satu cubaan menyeludup keluar kira-kira 8,000 kilogram sisik tenggiling bernilai RM100 juta dalam satu rampasan di Pelabuhan Sepanggar  akhir bulan lepas.

Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata, sisik tenggiling terbabit yang dirampas pada 29 Julai lalu, dipercayai untuk dieskport ke China.

“Berdasarkan hasil risikan, kita telah membuat pemeriksaan terhadap dua kontena yang didaftarkan  berisi  cengkerang untuk dieksport ke negara berkenaan.

“Namun hasil pemeriksaan itu kita mendapati sebanyak  226 guni berisi kira-kira 8,000 kg sisik tenggiling dimuatkan di dalam kedua-dua kontena berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata susulan itu juga pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang merupakan pemilik syarikat yang cuba menyeludup keluar sisik tenggiling tersebut.

Datuk Janatan Kandok menunjukkan Sisik Tenggiling yang berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Penguatkuasaan di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu  kelmarin. – Bernama
Datuk Janatan Kandok menunjukkan Sisik Tenggiling yang berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Penguatkuasaan di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu  kelmarin. – Bernama

Janathan berkata kes itu  disiasat menurut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba menyeludup keluar barang larangan yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali nilai barangan atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sisik tenggiling dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 kecuali dengan permit.

Beliau juga tidak menolak sisik tenggiling tersebut dibawa masuk ke Sabah dari negara jiran melalui jalan tikus. – Bernama