Sistem e-bayar beri manfaat PKS

Sistem e-bayar beri manfaat PKS

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Penggunaan sistem pembayaran dalam talian (online) bagi menyelesaikan urus niaga pembelian barangan melalui Internet mampu mengembangkan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang menggunakan Internet sebagai saluran pemasaran mereka.

Khidmat pembayaran yang disediakan oleh beberapa platform pembayaran antarabangsa, seperti PayPal, diyakini akan menarik minat lebih ramai prospek pelanggan atas talian kerana mereka mudah memilih barangan secara atas talian dan sistem pembayaran jaminan tersebut memberikan jaminan keselamatan terhadap pembayaran yang dilakukan.

Namun, aktiviti e-dagang di negara ini masih belum cenderung ke arah penggunaan sistem pembayaran melalui gateway pembayaran antarabangsa kerana beberapa faktor.

Antaranya ialah syarikat penjual tempatan tidak dapat menuntut pembayaran bagi barangan yang mereka jual kepada pembeli luar negara sekiranya pembeli menggunakan akaun luar negara, dan pada senario tempatan, masyarakat di negara ini lebih gemar membeli barangan mereka melalui pembayaran tunai atau menggunakan kad kredit atau kad debit mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh pemilik syarikat dalam talian pertama dan terbesar di negara ini, www.QQeStore.com, Nicky Wong, pada sesi temu bual media yang dikendalikan oleh BAG Networks Sdn Bhd di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Nicky Wong (kanan) ketika bercakap kepada pemberita mengenai sistem e-bayar.
Nicky Wong (kanan) ketika bercakap kepada pemberita mengenai sistem e-bayar.

Temu bual itu diatur susulan perbincangan meja bulat yang diadakan antara Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan BAG Networks Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib pada 19 Februari 2016.

Perbincangan itu bagi merumuskan kaedah terbaik untuk memperkenalkan sistem e-bayar yang dapat memberikan manfaat kepada sektor PKS di Negara Brunei Darussalam.

Menurut Wong, ramai para pelanggan beliau bertanyakan sama ada syarikat mereka boleh menerima pembayaran melalui Paypal kerana ia satu saluran pembayaran dalam talian yang mudah dan boleh dipercayai, sebaliknya, persoalannya ialah sama ada pasaran e-dagang di negara ini cukup besar untuk menarik kemasukan syarikat e-bayar tersebut.

“Sekiranya mereka (syarikat e-bayar) ingin bertapak di negara ini mereka terlebih dahulu perlu memenuhi kriteria kerajaan tempatan dan memperoleh lesen perbankan tempatan,” ujarnya.

Katanya, industri e-dagang tempatan memang memerlukan lebih banyak pilihan sistem pembayaran kerana dengan menyediakan lebih banyak pilihan e-bayar bermakna menyediakan kemudahan yang lebih luas untuk dipilih para pelanggan.

“Para pelanggan hanya akan menggunakan khidmat yang kita tawarkan kepada mereka, dan jika banyak sistem e-bayar digunakan di negara ini maka saya percaya lebih ramai orang akan tertarik untuk membeli barangan secara online kerana mudah membuat pembayaran dalam talian dengan selamat.

Ketika menceritakan pengalamannya menjalankan perniagaan online, Wong berkata, kebanyakan bakal pelanggannya melayari laman sesawang syarikatnya untuk mengetahui produk terkini di pasaran dan membandingkan harganya dengan harga syarikat lain.

Jika tertarik, pelanggan akan berkunjung sendiri ke cawangan syarikat www.QQeStore.com untuk membeli dan pembayaran sering dibuat melalui tunai, kad kredit atau kad debit, sementara kebanyakan khidmat penghantaran terus ke pintu bagi pembelian online adalah bagi pesanan dari Daerah Belait memandangkan mereka belum mempunyai cawangan di daerah itu.

Nicky Wong seterusnya mendedahkan beliau pernah bercadang untuk memulakan laman sesawang MarketPlace sebagai satu platform bagi peniaga-peniaga kecil memasarkan produk mereka.

Usaha itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan dahulu memandangkan ketika itu atas sebab tertentu, tetapi Wong begitu optimis bahawa platform perniagaan dalam talian seperti itu juga berupaya merangsang pertumbuhan sektor perniagaan PKS di negara ini dan tidak mustahil idea beliau itu akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi.

ARTIKEL YANG SAMA