Sistem LARIS diperkenalkan

Sistem LARIS diperkenalkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April –Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Tanah telah memperkenalkan Sistem Maklumat Pendaftaran dan Permohonan Tanah (LARIS) kepada orang ramai, dalam usaha memperbaiki kedudukan Negara Brunei Darussalam mengikut penilaian Bank Dunia (World Bank) bagi pendaftaran hartanah (registering property) untuk kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business).

Sistem ini akan bermula pada 1 Mei 2016, di mana permohonan tanah yang dihadapkan melalui perkhidmatan peguam adalah dimestikan untuk membuat permohonan menggunakan LARIS.

Jabatan Tanah menjelaskan, sistem ini membolehkan pemilik tanah mengakses maklumat secara online mengenai tanah milik mereka dan mendapatkan kebenaran untuk memindah milik tanah.

Selain itu, sistem ini juga menyediakan pemilik tanah untuk membuat permohonan secara online bagi mendapatkan kebenaran untuk menyambung tempoh kelamaan geran (MKG) tanah persendirian, tukar syarat khas tanah, menggadai tanah kepada institusi kewangan dan memajak tanah persendirian yang lebih dari tujuh tahun.

Di samping itu,  sistem LARIS juga boleh diakses melalui portal e-Darussalam, di mana pengguna perlu mendaftar akaun e-Darussalam sebelum mengakses sistem berkenaan.

Semua dokumen permohonan yang disertakan perlulah diimbas dan dimuanaik bersama permohonan berkenaan.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan menggunakan sistem ini selain menggunakan perkhidmatan melalui kaunter di Jabatan Tanah.

Ini akan lebih memudahkan ia diakses di mana sahaja dengan kemudahan teknologi masa kini seperti telefon pintar, tablet dan komputer.

Sistem ini juga akan memberi keselesaan kepada orang ramai, di mana permohonan juga boleh dibuat di lokasi awam seperti di Business Help Desk, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa dan semua cawangan Daerah Jabatan Tanah dengan menggunakan komputer dan pengimbas yang disediakan untuk kegunaan awam.

ARTIKEL YANG SAMA