Sistem OneBiz bermula 15 Feb

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) hari ini memperkenalkan satu kaedah dan prosedur baru untuk membuat permohonan Lesen Hiburan Awam (Berkala) di bawah Akta Hiburan Awam (Penggal 181) secara dalam talian yang akan menggunakan Sistem OneBiz bermula 15 Februari ini.

Sistem Permohonan secara online ini adalah untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dan akan menggantikan penerimaan permohonan yang digunakan pada masa ini.

Semua permohonan hendaklah dibuat secara online melalui laman web OneBiz di laman sesawang https://onebiz.business.gov.bn.

Sehubungan itu, permohonan Lesen Hiburan Awam (Berkala) melalui kaunter dengan ini ditiadakan. Sistem ini dihasratkan untuk mempercepatkan proses permohonan lesen sekali gus membuatkannya lebih teratur dan lengkap.

Dalam pada itu juga, permohonan lesen berkenaan akan menggunakan akaun E-Darussalam, yang mana setiap pemohon dikehendaki untuk mendaftar atau mempunyai akaun E-Darussalam yang aktif sebelum membuat permohonan.

Jika pemohon belum mempunyai akaun E-Darussalam maka bolehlah mendaftar dengan E-Darussalam dan seterusnya mengaktifkan akaun mereka dengan membawa kad pengenalan pintar ke pusat-pusat verifikasi di keempat-empat daerah untuk melengkapkan proses pendaftaran.

Maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan pusat-pusat verifikasi boleh didapati dari laman sesawang www.gov.bn.

Urusan pembayaran secara tunai serta pengambilan Lesen Hiburan Awam (Berkala) yang telah dibenarkan bolehlah dibuat di Level 1, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Simpang 32-3, Kampung Anggerek Desa Taman Teknologi.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai permohonan Lesen Hiburan Awam (Berkala) secara online bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau KHEDN di talian 2223225 sambungan 327, 332, 334 dan 335 atau melayari https://onebiz.business.gov.bn.