Sistem OneBiz dilaratkan ke Belait

Sistem OneBiz dilaratkan ke Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7Mei – Sistem OneBiz yang telah diperkenalkan sejak dua tahun lalu di Daerah Brunei dan Muara kini sudah dilaratkan penggunaannya ke Daerah Belait dengan berlangsungnya majlis pelancaran penggunaan sistem tersebut, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan pelancarannya yang berlangsung di Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, dengan memotong reben di muka pintu masuk ke Pusat Pemudahan Perniagaan yang ditempatkan di tingkat bawah, jabatan tersebut.

Bagi penggunaan sistem tersebut, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, telah menyediakan kemudahan kepada pemohon yang tidak mempunyai kelengkapan peralatan IT dan akses Internet, selain turut menyediakan beberapa pegawai dan kakitangan dari Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria untuk memberikan perkhidmatan di pusat tersebut dalam membantu dan tunjuk cara kepada pemohon yang datang.

Di samping itu, perkhidmatan lain yang turut disediakan termasuklah kaunter pembayaran, menerima dokumen-dokumen sokongan, pengambilan sijil lesen dan/atau permit-permit, meja bantu dan pendaftaran akaun e-Darussalam.

Pemohon juga boleh membuat permohonan dalam talian melalui https://onebiz.busines.gov.bn serta untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai OneBiz boleh melayari laman sesawang www.business.gov.bn atau menghubungi Meja Bantu di talian 2380600 atau e-mel kepada onebiz@industry.gov.bn.

Pelancaran Sistem Penggunaan OneBiz bagi Daerah Belait disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait Awang Hasmiron.
Pelancaran Sistem Penggunaan OneBiz bagi Daerah Belait disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait Awang Hasmiron.

Sistem dalam talian yang dinamakan sebagai OneBiz, merupakan projek kemegahan e-kerajaan oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang direka untuk menyediakan satu proses lebih mudah dan lebih cekap bagi memulakan perniagaan di negara ini.

Sistem OneBiz yang telah mula diperkenalkan pada bulan Februari 2013 di Daerah Brunei dan Muara sahaja memberikan kemudahan untuk permohonan lesen-lesen seperti Lesen Perniagaan, Lesen Letak Kereta, Lesen Hiburan Awam, Jabatan Bandaran dan Kuala Belait; Lesen Papan Tanda, Papan Nama, Kain Rentang dan Pengiklanan, Jabatan Bandaran dan Daerah Belait; dan Pengesahan Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Selain itu, Perintah Galakan Pelaburan, 2001, KPSSU; Lesen Localised Internet Services Reseller, Kementerian Perhubungan; Kebenaran Penyambungan Bekalan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Elektrik; dan Permohonan Bekalan Air, Jabatan Perkhidmatan Air.

Pada peringkat permulaan pelancaran, Sistem OneBiz di daerah ini hanya bagi permohonan Lesen Perniagaan, manakala perkhidmatan lainnya akan mula diperkenalkan secara berperingkat-peringkat. Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan, ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Ali bin Matyassin, serta pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan lainnya dan wakil syarikat-syarikat perniagaan di daerah ini dan sektor swasta.

ARTIKEL YANG SAMA