Sistem pencukaian platform Uber dan Grabcar dikaji

Sistem pencukaian platform Uber dan Grabcar dikaji

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Kementerian Kewangan tidak bercadang mengenakan cukai ke atas pemandu Uber dan Grabcar, sebaliknya mengkaji sistem pencukaian ke atas platform perkhidmatan tersebut.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata ini disebabkan platform aplikasi Uber dan Grabcar berupaya mengaut keuntungan berjuta ringgit hasil operasi di negara ini.

“Kita (kementerian) tak nak kenakan cukai kepada pemandu teksi, tetapi kita nak tengok bagaimana kementerian boleh laksana pencukaian ke atas platform (Uber dan Grabcar) ini… sebab pemandu juga perlu membayar 25 peratus kepada platform ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Komuniti 1Malaysia dan Kembara Jalur Gemilang bagi kawasan parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Wangsa Maju 2016, kelmarin.

Johari berkata ketika ini kementerian itu sedang memikirkan kemungkinan platform tersebut didaftarkan sebagai sebuah syarikat di negara ini, bagi memudahkan pendapatan keuntungan yang diperoleh Uber dan Grabcar, diketahui.

“Kita tengah fikirkan untuk mewajibkan platform ini didaftarkan… jadi kita boleh tengok berapa banyak pendapatan mereka, dan dari sini berapa cukai yang mereka perlu bayar,” katanya.

Menurutnya tindakan ini adil bagi golongan yang mengaktifkan ekonomi (pemandu) serta mereka yang menyediakan platform untuk ekonomi (Uber dan Grabcar).

“Kita tidak boleh kenakan cukai ke atas pemandu kerana mereka juga cukup-cukup makan…tidak adil bagi mereka,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA