Sistem Pendaftaran Cagaran bakal manfaatkan perniagaan

Sistem Pendaftaran Cagaran bakal manfaatkan perniagaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Sistem Pendaftaran Cagaran akan dilancarkan bersama-sama dengan penguatkuasaan Perintah Transaksi Bercagar pada Disember nanti, di mana para peniaga di Brunei akan dapat mula memanfaatkan sistem berkenaan dengan sepenuhnya.

Sistem itu dijangka menjadi alat penting bagi perniagaan-perniagaan di negara ini dan memberikan manfaat kepada mereka untuk mencagarkan harta alih masing-masing kepada bank-bank atau syarikat kewangan bagi kemudahan mendapat kredit.

Perkara itu ditekankan oleh Peguam Cara Kanan dari Pejabat Syarikat-Syarikat New Zealand, Sheree McDonald ketika mengongsikan pengalamannya dalam menguruskan Personal Property Security Register (PPSR) di New Zealand yang serupa dengan Sistem Pendaftaran Cagaran, pada taklimat mengenai perintah dan sistem berkenan anjuran Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, semenjak pelancaran sistem PPSR pada 2002 di New Zealand, bank-bank atau syarikat kewangan boleh mendaftarkan kepentingan sekuriti masing-masing bagi memudahkan mendapatkan kembali hutang (debt recovery) jika peminjam muflis.

Selain daripada itu, ulasnya lagi, sistem berkenaan juga mempunyai fungsi carian di mana ia telah digunakan lebih daripada 25 juta kali, termasuk 15 juta kali di mana carian bertujuan untuk memeriksa sama ada sesebuah kenderaan itu telah dicagarkan.

Sheree menyampaikan taklimat dan mengongsi pengalamannya dalam mengurus Personal Property Security Register (PPSR) di New Zealand.
Sheree menyampaikan taklimat dan mengongsi pengalamannya dalam mengurus Personal Property Security Register (PPSR) di New Zealand.

Terdahulu, Penolong Pegawai, Awangku Mohd Hardine bin Pengiran Haji Marali dalam taklimatnya turut memberikan penerangan mengenai Perintah Transaksi Bercagar dan Sistem Pendaftaran Cagaran serta mengenai manfaat sistem tersebut bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan termasuk memudahkan mendapatkan kredit serta membolehkan mereka mengembangkan perniagaan mereka.

Bagi pelaksanaan Sistem Pendaftaran Cagaran Negara Brunei Darussalam, Perintah Transaksi Bercagar, 2016 juga akan diperkenalkan di mana perniagaan atau individu akan dapat memanfaatkan harta alih mereka sebagai cagaran kepada pinjaman masing-masing.

Perintah itu juga akan menggalakkan bank-bank untuk memberikan pinjaman, di mana aset-aset mudah alih akan dicagarkan bagi pinjaman berkenaan, yang boleh dikuatkuasakan apabila peminjam tidak melangsaikan bayaran pinjaman.

Awangku Mohd Hardine menyampaikan taklimatnya.
Awangku Mohd Hardine menyampaikan taklimatnya.
Antara yang menghadiri taklimat tersebut.
Antara yang menghadiri taklimat tersebut.

Taklimat itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari agensi kerajaan dan institusi kewangan serta jemputan daripada persatuan undang-undang dan perniagaan termasuk PKS.

Menurut kenyataan daripada AMBD, dengan pelancaran Sistem Pendaftaran Cagaran dan penguatkuasaan Perintah Transaksi Bercagar pada Disember nanti, para peniaga di negara ini akan dapat mula memanfaatkan sistem berkenaan dengan sepenuhnya.

Pelaksanaan inisiatif itu, jelas kenyataan berkenaan, juga akan meningkatkan lagi kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam World Bank Ease of Doing Business (EODB) ranking, dengan sokongan daripada Unit PENGGERAK, Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Pandu EODB.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sistem Pendaftaran Cagaran berkenaan, boleh memuat turun aplikasi AMBD secara percuma menerusi App Store bagi pengguna iPhone atau Google Playstore bagi pengguna Android atau melayari laman sesawang AMBD di alamat http://www.ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA