Sistem pengurusan banjir Kemaman diiktiraf PBB

Sistem pengurusan banjir Kemaman diiktiraf PBB

KEMAMAN, 8 Jun – Sistem pengurusan banjir daerah Kemaman yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahun lepas telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata sistem bersepadu yang dibangunkan SKMM itu membolehkan pihak berkuasa memantau banjir yang melanda daerah itu setiap jam.

“Dengan sistem yang dibangunkan itu membolehkan kita memantau keadaan hujan dan banjir setiap masa yang membolehkan bantuan keselamatan diberi dengan cepat dan berkesan.

“Di antara lima negara yang membangunkan pengurusan bantuan banjir, pengurusan banjir daerah Kemaman telah mendapat perhatian dan pengiktirafan oleh Geneva yang saya sendiri menerima sijilnya baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengagihkan wang ihsan bantuan bencana negara peringkat daerah Kemaman di sini hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA