Sistem perjanjian berjaya jimatkan masa menunggu

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Sejak pelaksanaannya pada lewat tahun lalu, Sistem Perjanjian bagi Perkhidmatan Pergigian, yang diperkenalkan oleh Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan berjaya mengurangkan waktu menunggu bagi orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Sebelum pelaksanaan sistem perjanjian itu, waktu menunggu bagi seseorang untuk berjumpa dengan profesional pergigian mereka boleh mencecah dari sejam hingga tiga jam.

Dengan adanya sistem perjanjian ini, ia memberikan kemudahan kepada orang ramai dan klien supaya dapat merancang lawatan atau perjumpaan mereka bagi mendapatkan rawatan pergigian mengikut jadual atau perjanjian yang ditetapkan.

Ini dijelaskan oleh Penguasa Perubatan, Perkhidmatan Pergigian, Dr. Malissa Abdullah Sikun dan Ketua Bahagian Penjagaan Mulut Asasi, Dr. Patricia Poh Wan Wen dalam sesi temu bual bersama media di Pusat Pergigian Negara, Berakas.

Menurut Dr Malissa, bagi mereka yang mempunyai kes-kes kecemasan pergigian seperti bengkak di bahagian muka, trauma pergigian, perdarahan yang tidak dapat dikawal selepas cabutan gigi atau sakit gigit yang kuat, masih boleh berkunjung ke perkhidmatan pergigian di pusat kesihatan di kawasan tadahan mereka untuk mendapatkan rawatan.

Dr Malissa (kanan) dan Dr Poh (kiri) semasa bercakap dalam temu bual bersama media kelmarin.

Sementara itu, Dr. Poh pula berkata, sistem perjanjian itu telah diamalkan lebih awal oleh Perkhidmatan Penjagaan Mulut Pakar, Kementerian Kesihatan dan ia mula diperkenalkan bagi Perkhidmatan Penjagaan Mulut Asasi sejak lewat 2016 di mana sehingga kini, 12 daripada 13 buah hospital dan pusat kesihatan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan sudah menggunakan sistem perjanjian bagi perkhidmatan pergigian. Manakala Pusat Kesihatan Jubli Perak, Sengkurong akan mula memperkenalkan sistem perjanjian itu pada November nanti.

Katanya, sistem perjanjian bagi perkhidmatan pergigian bermatlamat untuk memudahkan orang ramai atau klien membuat perjumpaan dan mendapatkan rawatan daripada profesional perubatan di pusat-pusat kesihatan di kawasan tadahan mereka.

Ini sekali gus dapat mengurangkan waktu menunggu pada hari perjanjian mereka, meningkatkan lagi kualiti penjagaan, memberikan peluang kepada profesional pergigian untuk memberikan tahap perkhidmatan yang lebih komprehensif dan kelangsungan penjagaan serta memberi keselesaan kepada pesakit atau klien.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk menghubungi atau berkunjung ke pusat kesihatan atau hospital di kawasan tadahan mereka di mana mereka boleh mendapatkan analisis awal melalui siri soalan untuk mengetahui jika mereka memerlukan rawatan penjagaan pergigian kecemasan atau rawatan rutin.

Menurut Dr Poh, mereka yang memerlukan rawatan kecemasan akan diberikan rawatan pada hari yang sama manakala mereka yang memerlukan rawatan rutin akan diberikan perjanjian pada waktu atau tarikh yang terdekat.

Sementara Dr. Malissa pula memberitahu, secara umumnya sistem perjanjian itu mendapat maklum balas yang positif daripada orang ramai tetapi seperti lain-lain perkara baru yang diperkenalkan, terdapat kekeliruan daripada orang ramai mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.

Namun begitu, pihaknya terus berusaha untuk memperbaiki lagi sistem perjanjian yang dilaksanakan serta memberikan penerangan yang lebih jelas kepada klien-klien dan orang ramai yang berkunjung ke pusat-pusat kesihatan dan hospital mengenai sistem perjanjian itu.