Siswa baru digesa buru kecemerlangan

Siswa baru digesa buru kecemerlangan

Oleh Sim Y. H. dan

Mohd Asyramisyanie Kamis

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Para pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang memasuki alam pengajian di universiti bukan sahaja melalui proses peralihan daripada alam persekolahan ke alam universiti tetapi ia juga adalah peralihan dari segi daya fikir dan minda, kata Timbalan Naib Canselor Univeristi Brunei Darussalam, Profesor Madya Dr. Haji Azman bin Ahmad.

Sehubungan itu beliau menyeru mereka agar berusaha mencapai kecemerlangan ilmu dan meninggikan kecemerlangan universiti serta memberikan sumbangan bakti kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara selaras dengan falsafah negara, Melayu Islam Beraja.

Dalam ucapan Naib Canselor pada Perasmian Minggu Pelajar Baru UBD bagi Pengambilan Januari 2016 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini, Prof. Madya Dr. Haji Azman berkata, para mahasiswa dan mahasiswi mestilah bersedia, dengan minda yang terbuka, untuk menerima dan menyesuaikan diri kepada budaya dan iklim pembelajaran di universiti ini, sambil menghormati dan mematuhi perlembagaan, undang-undang, peraturan dan nilai-nilai teras UBD.

Menyentuh mengenai Program GenNEXT, beliau menjelaskan bahawa program pembelajaran selama empat tahun di UBD itu, diharap akan menanamkan dan memupuk sifat-sifat serta nilai-nilai kepimpinan, keusahawanan, inovasi dan kesedaran terhadap persekitaran dalam kalangan para pelajar.

Beliau yakin itu juga mampu untuk membantu menjana pemikiran yang membawa perubahan transformasi (transformational change) yang diperlukan dalam perkembangan ekonomi negara.

Profesor Madya Dr. Haji Azman menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Profesor Madya Dr. Haji Azman menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

pg03_160105_b

Prof. Madya Dr. Haji Azman menambah kata, GenNEXT adalah satu platform dan adalah menjadi tanggungjawab para pelajar untuk memanfaatkan sepenuhnya.

Beliau menyeru supaya para pelajar akan mengetengahkan sifat intelektual sentiasa ingin tahu, malah mereka digalakkan untuk mengambil pelbagai modul dari fakulti-fakulti yang berbeza untuk mengenal pasti bakat serta kemahiran mereka yang terpendam.

Katanya, adalah amat penting untuk merentas sempadan disiplin pembelajaran kerana ilmu pengetahuan baru sering kali boleh ditemui di persimpangan disiplin yang berlainan.

Sebagai contoh, UBD pada 2016 akan menawarkan laluan untuk menerokai atau memasuki bidang bio teknologi iaitu gabungan disiplin sains dan kejuruteraan.

Maka itu, para mahasiswa dan mahasiswi UBD, di samping mengutamakan kecemerlangan akademik, diseru untuk menjana nilai tambah sebagai ilmu, pengalaman dan kemahiran berkomunikasi di antara satu sama lain dengan menyertai pelbagai kegiatan ko-kurikulum di UBD.

“Saya percaya awda sudah bersedia dan teruja untuk memulakan pengajian pilihan awda dengan penuh semangat, meneroka pelbagai peluang ilmu, pengalaman, memperkasa bakat kepimpinan, pengkajian, keusahawanan dan mencapai impian awda untuk menjadi insan yang holistik agar setelah tamat pengajian nanti, awda lahir sebagai graduan UBD yang serba boleh dalam pelbagai bidang.”

Para mahasiswa dan mahasiswi juga diharap dapat membentuk disiplin peribadi yang luhur, akhlak yang mulia dan menjadi pakar dalam bidang keilmuan duniawi dan ukhrawi, menjadi individu yang proaktif, berdaya tahan, berfikiran terbuka, mempunyai sikap kepimpinan dan peka terhadap perkara semasa dan memiliki sikap siap sedia dalam bertindak balas dengan apa jua cabaran yang mendatang serta berpaksikan kepada nilai-nilai murni, Melayu Islam Beraja.

ARTIKEL YANG SAMA