Siswa KUPU SB tabur bakti di Riau

Siswa KUPU SB tabur bakti di Riau

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Seramai 13 ahli rombongan dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini telah berlepas ke Indonesia bagi menyertai Program Intelektual ‘Mahabbah Wa Rahmah’ KUPU SB-Riau.

Program anjuran Pusat Bahasa KUPU SB dengan kerjasama para mahasiswa kolej universiti tersebut bertujuan untuk memperkasakan ilmu dan khidmat sosial kepada masyarakat khususnya dalam membantu anak-anak yatim.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas bagi mengucapkan selamat belayar kepada para rombongan ialah Penolong Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha.

Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili yang mengetuai rombongan tersebut semasa ditemui berkata, Program Mahabbah Wa Rahmah itu sangat bertepatan dengan misi dan visi KUPU SB ke arah melahirkan bakal guru yang berwibawa dan membantu mereka untuk menghadapi masyarakat yang pelbagai.

Menurut beliau, program selama lima hari bermula hari ini sehingga 22 Mei meliputi lawatan ilmiah dan sesi dialog serta kerja kemasyarakatan dan sumbangan amal kebajikan.

Para peserta rombongan bergambar ramai sebelum berlepas ke Riau kelmarin.
Para peserta rombongan bergambar ramai sebelum berlepas ke Riau kelmarin.

Lawatan ilmiah dan kerja kemasyarakatan akan diadakan di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim UIN-SUSKA dan di Rumah Anak-anak Yatim Madani, Pekanbaru, Riau, Indonesia.

Beliau berkata, program itu bertujuan memperkenalkan KUPU SB di peringkat serantau dan antarabangsa sebagai satu-satunya institusi pendidikan tinggi Islam yang berorientasikan perguruan di rantau ini di samping melatih mereka untuk bekerja secara berpasukan serta melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bersesuaian dengan persekitaran.

Selain itu, ia turut membantu golongan anak-anak yatim dalam bentuk material dan khidmat masyarakat dan melahirkan mahasiswa yang berfikiran kreatif dalam mengaplikasikan teori-teori ilmu yang dipelajari kepada masyarakat luar khususnya anak-anak yatim.

ARTIKEL YANG SAMA