Siswa UBD timba ilmu di Pusat Sejarah

Siswa UBD timba ilmu di Pusat Sejarah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Seramai lapan orang mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengikuti Program Penempatan Kerja di Pusat Sejarah Brunei selama 14 minggu bermula 26 Januari dan berakhir pada hari ini.

Sehubungan itu, satu Sesi Pembentangan dan Majlis Penyampaian Sijil Program Penempatan Kerja Mahasiswa & Mahasiswi UBD telah diadakan di Galeri Sejarah, Pusat Sejarah Brunei, di ibu negara.

Enam daripada mahasiswa berkenaan adalah dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) yang mengambil jurusan Historical Studies (Pengajian Sejarah) dan dua yang lain adalah dari Akademi Pengajian Brunei (APB).

Selepas ucapan alu-aluan oleh Pegawai Sejarah Kanan, Hajah Fatimah binti Mohd Daud, para mahasiswa terlibat membuat sesi pembentangan dan diakhiri dengan sesi soal jawab antara mahasiswa-mahasiswi UBD, pegawai-pegawai Pusat Sejarah Brunei dan penyelia dari FASS dan APB, UBD.

Para peserta kemudiannya menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Hanafi bin Haji Salleh.

Para peserta Program Penempatan Kerja bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan Pusat Sejarah Brunei dan penyelia mereka.
Para peserta Program Penempatan Kerja bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan Pusat Sejarah Brunei dan penyelia mereka.
Salah seorang siswa UBD menerima sijil penghargaan daripada Awang Hanafi.
Salah seorang siswa UBD menerima sijil penghargaan daripada Awang Hanafi.

Program Penempatan Kerja di Pusat Sejarah Brunei diperkenalkan sejak tahun 2001 bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai pengalaman bekerja selain memberi peluang kepada peserta untuk menerokai dan mengenali Pusat Sejarah Brunei dengan lebih dekat lagi di samping mempelajari sesuatu yang baru.

Sepanjang menjalani Program Penempatan Kerja, para mahasiswa diberikan tugasan khusus atau projek utama, iaitu menghasilkan esei daripada analisis dokumen dan praktikal penyelidikan seperti mewawancara, mentranskripsi sejarah hasil wawancara, menakap batu-batu nisan, dan pelbagai kaedah atau metodologi penyelidikan sejarah.

Selain itu, para peserta program penempatan kerja juga ditunjuk ajar dan didedahkan dengan teknik penulisan, penyuntingan dan penyemakan di Bahagian Penerbitan dan Pemasaran agar mereka dapat menghasilkan penulisan yang lebih teratur dan bersistematik.

Menurut kenyataan Pusat Sejarah, penulisan rencana hasil daripada penyelidikan para peserta juga diterbitkan ke dalam Majalah Pusaka terbitan Pusat Sejarah Brunei. Begitu juga dengan tugasan khusus yang telah dihasilkan, Pusat Sejarah sedang berusaha mengumpulkan esei-esei tersebut menjadi sebuah buku dan menerbitkannya pada masa akan datang.