Siswa Unissa berbakti di Daerah Tutong

Siswa Unissa berbakti di Daerah Tutong

TUTONG, 16 Jun – Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (FPSP), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) buat julung-julung kalinya mengadakan Program Ziarah Mahabbah Kampung Kuala Tutong, Daerah Tutong bersempena datangnya bulan Ramadan.

Di bawah program tersebut, 10 buah rumah di Kampung Kuala Tutong dipilih di mana para sukarelawan terdiri daripada 35 orang mahasiwa, pensyarah FPSP, kakitangan UNISSA serta beberapa penduduk kampung menjalankan pelbagai aktiviti berkebajikan.

Antaranya ialah, kerja-kerja membersihkan kawasan rumah yang telah diadakan sebelah pagi dan petang.

Pada waktu malam pula diadakan Majlis Penyerahan Bantuan yang disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal kepada keluarga-keluarga berkenaan yang berlangsung di Dewan Utama Seri Kenangan, Tutong.

Turut diadakan ialah Kuliah Subuh bertempat di Masjid Kampung Keriam Tutong.

Dr. Haji Norarfan menyampaikan bantuan kepada wakil salah sebuah keluarga di Majlis Penyerahan Bantuan.
Dr. Haji Norarfan menyampaikan bantuan kepada wakil salah sebuah keluarga di Majlis Penyerahan Bantuan.

Menurut kenyataan penganjur, idea mengadakan program tersebut lahir daripada kursus pengajian yang diajarkan di FPSP khasnya kursus Metodologi Penyelidikan dan kursus Ekonomi Islam yang banyak membuka minda mahasiswa-mahasiswi dengan isu ekonomi global yang melanda umat Islam pada hari ini, khususnya isu kemiskinan.

Untuk meneroka dan memahami keperitan dan kesusahan yang ditanggung oleh golongan (miskin) ini, maka adalah perlu mereka turun padang dan bersua muka serta melihat sendiri kesusahan yang dihadapi.

Program itu sedikit sebanyak dapat memupuk rasa mahabbah dan toleransi antara pihak UNISSA dengan masyarakat luar bandar di samping memupuk nilai jati diri dan sifat kesukarelawanan untuk membantu meringankan kesusahan masyarakat sekeliling.

Selain itu, ia juga memberi ruang kepada mahasiswa-mahasiswi untuk mempraktikkan ilmu-ilmu yang diperolehi dan mengaplikasikannya pada dunia sebenar.

Program tersebut diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga sasaran berkenaan dan seterusnya dapat mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim antara UNISSA dengan masyarakat luar selain daripada memperkenalkan lagi UNISSA kepada masyarakat umum.

ARTIKEL YANG SAMA