Siti Sarah serik hilang anak

Siti Sarah serik hilang anak

KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Sarah Raissuddin nekad menggunakan abah-abah keselamatan atau ‘harness’ selepas melalui pengalaman menakutkan kehilangan anak keduanya, Zakira Talita Zahra, 3, di sebuah pusat beli belah, baru-baru ini.

Katanya, tempoh sejam berhadapan detik cemas itu memberi pengajaran supaya lebih mengutamakan keselamatan anak-anak selain menepis pandangan remeh masyarakat terhadap penggunaan peralatan berkenaan.

“Biarlah apa orang kata kerana yang penting keselamatan anak-anak saya. Saya tidak mahu membawa anak keluar tanpa bantuan ‘harness’. Saya enggan mengambil sebarang risiko lagi.

Saya akui salah saya kerana tidak mengambil langkah keselamatan sebegini lebih awal lagi. Sukar untuk saya gambarkan insiden cemas yang berlaku dalam sekelip mata itu. Alhamdulillah anak saya, Talita ditemui dalam keadaan selamat di stesen monorel berdekatan. Mustahil anak saya yang berusia tiga tahun boleh keluar sendiri dari pusat membeli belah dan menuju ke stesen monorel. Namun, saya tidak dapat mengumpul butiran lanjut kerana kelemahan televisyen litar tertutup (cctv) di premis berkenaan,” katanya.

Siti Sarah Raissuddin nekad menggunakan abah-abah keselamatan atau ‘harness’ selepas melalui pengalaman menakutkan kehilangan anak keduanya, Zakira Talita Zahra.
Siti Sarah Raissuddin nekad menggunakan abah-abah keselamatan atau ‘harness’ selepas melalui pengalaman menakutkan kehilangan anak keduanya, Zakira Talita Zahra.

Terdahulu, penyanyi yang popular menerusi lagu Kesetiaan itu berkongsi pengalamannya berdepan insiden terbabit menerusi sebuah entri terbaru di laman Instagram miliknya.

Sarah yang berkahwin dengan pelawak Shuib Sepahtu itu dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Dalam perkembangan terbaru, naib juara program Gegarvaganza musim ketiga itu merancang untuk merakamkan single berentak balada dalam tempoh terdekat.

“Insya-Allah saya bakal masuk ke studio untuk merakamkan single terbaru karya sahabat saya yang berasal dari Indonesia namun lagu berentak balada itu belum diberikan judul,” kata Sarah.

ARTIKEL YANG SAMA