‘Siuknya Sedakah’ masih berjalan

‘Siuknya Sedakah’ masih berjalan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Dis – Kumpulan Belia Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong dan Persatuan Saudara-saudara Baru Tutong (PESATU) kini masih lagi meneruskan Program ‘Siuknya Sedakah’ (#SiuknyaSedakah) yang telah bermula pada 18 November lalu bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan
Tutong.

Melalui program ini, orang ramai dialu-alukan menyumbangkan barangan asasi dan barangan lain seperti beras, minyak makan, serbuk pencuci, mi kuning/putih (bukan mi segera), minuman sirap dan tepung sehingga 4 Disember ini. Barangan tersebut perlu diserahkan di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong pada masa program itu dijalankan dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Hasil sumbangan daripada orang ramai itu nanti akan diserahkan kepada masyarakat yang memerlukan dan kurang berkemampuan.

Program ini bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan di samping dapat memupuk belia-belia masjid agar dapat bekerjasama dan bantu membantu masyarakat yang memerlukan.

Antara barangan asasi yang telah disumbangkan oleh orang ramai.
Antara barangan asasi yang telah disumbangkan oleh orang ramai.

Menurut kenyataan jawatankuasa program, mereka telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan sumbangan tersebut diteruskan bagi memberi peluang kepada orang ramai yang berkeinginan untuk menyampaikan sedekah.

Sementara itu, hasil daripada sumbangan yang dikumpulkan itu akan disampaikan kepada keluarga mualaf daif yang dipilih pada 11 Disember ini nanti.

Oleh itu, orang ramai sekali lagi dialu-alukan untuk menyumbangkan sedekah sehingga 4 Disember di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA