SIWW bincang isu cabaran bekalan air serantau

SIWW bincang isu cabaran bekalan air serantau

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah telah menghadiri Persidangan Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) yang berlangsung di Singapura selama tiga hari hingga hari ini.

Pelancaran persidangan berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam.

Persidangan yang diadakan setiap dua tahun sebagai platform global untuk berkongsi pengalaman dalam sama-sama mencari penyelesaian air yang inovatif ini dihadiri oleh menteri-menteri, timbalan menteri dan para pegawai kanan kerajaan dari 35 buah negara dan pihak-pihak swasta yang berkaitan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan di sini, hari ini, semasa persidangan berkenaan, Forum Menteri-Menteri Air ASEAN+3 turut diadakan di mana para menteri dari negara-negara anggota ASEAN, Republik Rakyat China, Republik Korea dan Jepun membincangkan strategi-strategi dan kerjasama dalam menghadapi isu-isu cabaran yang berkaitan dengan bekalan air dan sanitasi di rantau ini.

Semasa acara itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin juga telah mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Republik Singapura, Masagos Zulkifli.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bergambar ramai bersama perwakilan dari negara-negara Asean, Republik Rakyat China, Republik Korea dan Jepun yang menghadiri Persidangan SIWW di Singa-pura.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bergambar ramai bersama perwakilan dari negara-negara Asean, Republik Rakyat China, Republik Korea dan Jepun yang menghadiri Persidangan SIWW di Singa-pura.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk bagi menguatkan lagi kolaborasi dalam bidang yang berkaitan dengan bekalan air dan sanitasi di antara kedua-dua buah negara.

Selain daripada itu, turut dibincangkan ialah usaha meningkatkan kapasiti pro-fesional dan inovasi teknologi, meningkatkan kesediaan dan kemapanan bekalan air dan sanitasi untuk seluruh rakyat.

Menteri Pembangunan juga menghadiri Water Leader Summit, pameran inovasi dan teknologi air serta majlis penganugerahan berprestij ‘Lee Kuan Yew Water Prize’, di mana tetamu kehormat pada majlis penganugerahan tersebut ialah Perdana Menteri Republik Singapura, Lee Hsien Loong.

Turut hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal), Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pembangunan.

ARTIKEL YANG SAMA