SK Kiau dilanda banjir lumpur

SK Kiau dilanda banjir lumpur

KOTA BELUD, 16 Jun (Bernama) – Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Nuluh, Sadib Miki menyifatkan kejadian banjir lumpur yang melanda Sekolah Kebangsaan Kiau 1 petang semalam merupakan yang pertama dalam sejarah sekolah itu.

Bagaimanapun Sadib berkata banjir berkenaan cuma menjejaskan sebahagian kawasan sekolah dan tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran sekolah berkenaan.

“Pagi tadi, ibu bapa dan guru bersama-sama dengan anggota (JKKK) membersihkan sekolah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip berkata proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan berjalan seperti biasa hari ini.

Sebahagian daripada penduduk kampung yang berpindah ke Dewan Kemasyarakatan berikutan banjir lumpur. - Bernama
Sebahagian daripada penduduk kampung yang berpindah ke Dewan Kemasyarakatan berikutan banjir lumpur. – Bernama

Katanya antara yang terjejas dengan banjir lumpur berkenaan termasuk rumah guru, satu blok bangunan sekolah, stor sekolah dan dewan makan.

Menurut Jame banjir lumpur itu berlaku kira-kira jam 3.15 petang semalam namun ketika kejadian tidak ada pelajar di sekolah kerana semua murid telah kembali ke rumah masing-masing.