SK Lubok Darat, Sipitang kongsi amalan terbaik

SK Lubok Darat, Sipitang kongsi amalan terbaik

Oleh NAJ

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Dalam sama-sama berkongsi amalan terbaik, seramai lebih 40 orang pelajar dan disertai oleh tujuh guru pengawas dari Sekolah Kebangsaan Lubok Darat Sipitang, Sabah telah mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49, Kluster 3, baru-baru ini.

Rombongan diketuai oleh Guru Besar sekolah berkenaan Hajah Rafiah@Rapiah binti Jaafar. Lawatan tersebut adalah sebagai Program Jaringan Antarabangsa dan juga bagi berkongsi sama program “Cepat Tepat dan Sudoku dan Inovasi PDP Matematik,” Mengadakan Pertandingan “Pintar Catur” dan menimba ilmu baru dan pengalaman baru di sekolah yang dikunjungi.

Selain itu, ia juga bagi membina dan mengeratkan lagi persahabatan khasnya di kedua-dua sekolah dari dua buah negara berjiran.

Untuk merealisasikan tujuan lawatan tersebut, pihak sekolah telah mengaturkan aktiviti-aktiviti pintar Matematik dan pertandingan catur. Bagi memeriahkan pertandingan sebahagian daripada murid yang bertanding dalam perlawanan catur dijemput khas dari Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bukan kerajaan di sekitar Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49.

Lawatan turut meninjau kegiatan pelajar dalam kelas.
Lawatan turut meninjau kegiatan pelajar dalam kelas.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lubok Darat (tengah) dan Guru Besar Sekolah Rendah Lambak semasa lawatan itu.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lubok Darat (tengah) dan Guru Besar Sekolah Rendah Lambak semasa lawatan itu.

Program Jaringan Antarabangsa di antara Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Lubok Darat Sipitang, Sabah dan Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 juga bertujuan bagi berkongsi kepakaran dan maklumat berkaitan dengan teknik pengajaran dan pembelajaran.

Acara lawatan dimulakan dengan sesi taklimat mengenai profil sekolah seterusnya perkongsian pintar bidang Matematik dan catur diikuti dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Matematik di bilik darjah khas bagi murid-murid kedua-dua buah sekolah.

Majlis diteruskan dengan lawatan ke Sekolah Modal Inklusif (Inclusive Model School) dan diakhiri dengan persembahan kebudayaan serta penyampaian cenderamata.

Guru Besar Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49, Hajah Noorliah binti Haji Aspar berharap program tersebut akan dapat membuahkan hasil dan akan merapatkan lagi hubungan silaturahim antara guru-guru dan murid-murid dari kedua-dua sekolah ini khasnya dari Malaysia dan Brunei Darussalam.

Rombongan dari Sekolah Kebangsaan Lubok Darat Sipitang juga turut melawat Sekolah Rendah Tungku, pada hari sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA