Skandal atur perlawanan, M’sia tuntut bukti

Skandal atur perlawanan, M’sia tuntut bukti

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Pihak berkuasa bola sepak Malaysia hari ini menggesa bekas pegawai FIFA untuk menyediakan bukti selepas beliau mendakwa negara skuad Harimau itu menjadi hab untuk mengatur perlawanan di Asia Tenggara.

Chris Eaton, perunding industri bebas dan bekas ketua keselamatan FIFA pada Selasa berkata, Malaysia mengatasi Singapura dalam mengatur perlawanan berikutan tindakan keras di negara bandar raya itu. Beliau berkata demikian pada forum pertaruhan sukan di Singapura pada Isnin.

“Kami menggesa Eaton memberikan kami bukti,” Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Amin memberitahu AFP.

Hamidin berkata, Eaton harus ‘lebih profesional’ dengan memberikan bukti dan maklumat kepada pihak berkuasa di Malaysia sambil menambah Eaton juga membuat dakwaan yang sama tanpa bukti sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Malaysia Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa berkata, pihak berkuasa tidak menerima maklumat yang berkaitan dengan dakwaan Eaton sama ada daripada FIFA atau Konfederasi Bola Sepak Asia.

Bola sepak Malaysia, bagaimanapun, telah dicemari dengan skandal mengatur perlawanan selama ini dan pertaruhan sindiket dari negara ini juga aktif di luar negara.

Dalam salah satu kes yang paling besar, skandal 1994 di Malaysia menyaksikan 21 orang pemain dan jurulatih dipecat dan 58 lagi pemain digantung.

Pada tahun 1999, empat lelaki dikaitkan dengan sindiket pertaruhan berpangkalan di Malaysia telah dipenjara selama tiga tahun kerana merancang untuk mensabotaj lampu limpah menjelang perlawanan Charlton menentang Liverpool pada tahun itu sebagai sebahagian daripada plot mengatur perlawanan. – AFP