Skandal menyelubungi presiden Korea S bertambah pelik

Skandal menyelubungi presiden Korea S bertambah pelik

SEOUL, 23 Nov – Skandal berhubung penasihat samar-samar kepada Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye, berubah menjadi perkembangan yang lebih pelik hari ini apabila pejabat Park terpaksa menjelaskan tentang pembelian banyak Viagra.

Pendedahan tentang hubungan Park selama berdekad-dekad dengan rakan rapatnya Choi Soon-Sil dan dengan ayah Choi – mendiang pengasas kumpulan agama sesat – telah mencetuskan minat besar media dalam kehidupan peribadi presiden itu.

Semalam, seorang ahli undangan parti pembangkang mendedahkan bahawa pejabat Park tahun lalu telah membeli beratus-ratus pil yang boleh merawat mati pucuk, termasuklah Viagra dan ubat versi generik.

Ketika pendedahan itu mencetuskan kegilaan media, jurucakap Park berkata ubat tersebut telah dibeli untuk mengurangkan kemungkinan mabuk gunung ketika lawatan Park pada Mei ke negara-negara altitud tinggi di Afrika termasuklah Habsyah.

“Kami membelinya semasa mengadakan lawatan tetapi tidak menggunakannya,” Jung Youn-Kuk memberitahu para pemberita, dengan menambah kata ubat itu diketahui berkesan untuk merawat mabuk ketinggian.

Park tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai pasangan yang diketahui.

Beberapa tahun kebelakangan ini pejabat beliau juga telah membeli beratus-ratus dos suntikan vitamin dan ekstrak uri manusia yang lazimnya digunakan bagi penyahtoksikan dan rawatan anti penuaan.

Jung berkata dos-dos itu dibeli untuk para pekerja di pejabat presiden termasuklah pengawal peribadi Park.

Pihak pendakwa sedang menyiasat sama ada Park juga mempunyai pelbagai preskripsi suntikan untuk dirinya sendiri dengan menggunakan nama Choi di klinik swasta, tanpa pengetahuan kakitangan perubatan pejabat presiden. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA