Skandal Piala Dunia tidak jejas skuad Jerman

Skandal Piala Dunia tidak jejas skuad Jerman

MUNICH, 12 Nov (Reuters) – Skandal Piala Dunia 2006 yang telah menenggelamkan bola sepak Jerman ke dalam masalah tidak akan memberi kesan terhadap skuad bola sepak kebangsaan yang sedang melakukan persiapan untuk menentang Perancis dan Belanda tegas pengurus pasukan Oliver Bierhoff semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Wolfgang Niersbach meletak jawatan selepas gagal memberi jawapan berhubung pembayaran 6.7 juta euro kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 2005. Majalah Der Spiegel bulan lalu mendakwa wang itu digunakan bagi merasuah ahli FIFA untuk memilih Jerman sebagai tuan rumah Piala Dunia 2006.

Walaupun Niersbach, yang merupakan Naib Presiden Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2006, menafikan berbuat sebarang salah laku tetapi dia gagal menjawab mengapa pembayaran itu dibuat.

Tekanan kini meningkat kepada Franz Beckenbauer, pemain dan jurulatih yang pernah memenangi Piala Dunia, yang mengetuai jawatankuasa penganjur 2006 untuk memberikan jawapan.

“Tiga minggu yang sangat menekan kepada semua yang berada dalam DFB, kepada semua yang terlibat dalam bola sepak Jerman.

“Niersbach sangat rapat dengan pasukan kebangsaan, terutamanya dengan pemain dan kakitangan. Terdapat banyak simpati terhadap beliau.

“(Pemangku presiden) Rainer Koch dan Reinhard Rauball amat mesra dengan pasukan. Kerja-kerja berjalan lancar, seperti sebelum ini, dan tidak menjejaskan kami untuk perlawanan itu.

“Adalah penting untuk proses ini ditamatkan dan melihat ke hadapan. Para pemain bersikap profesional dan mereka boleh menguruskan hal ini,” kata Bierhoff.

Juara dunia 2014 itu akan menentang Perancis di Paris esok dan Belanda di Hanover pada 17 November.

Skandal itu telah menyebabkan Niersbach dan dua bekas ahli jawatankuasa penganjur Piala Dunia yang lain disiasat tetapi Bierhoff berjanji pemain akan cuba untuk memulihkan keadaan di atas padang.

“Ini adalah suatu berita yang dilihat sebagai negatif oleh peminat bola sepak dan kami perlu berhati-hati dan tetap merendah diri walaupun selama satu dekad ini kami mencipta kejayaan.