Skim Akademik Bola Sepak B12/18

Skim Akademik Bola Sepak B12/18

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof hari ini merasmikan Skim Akademik Bola Sepak Bawah 12 Tahun dan Bawah 18 Tahun, yang diadakan di Padang Sekolah Rendah Orang Kaya Setia Bakti Kilanas.

Skim yang menawarkan penyertaan dalam lima kategori, iaitu kategori umur 16 hingga 18 tahun, 13 hingga 15tahun, 10 hingga 12 tahun, lapan hingga sembilan tahun dan kategori tujuh tahun ke bawah itu bertujuan untuk mengasuh dan melatih kanak-kanak bermula daripada peringkat bawahan hingga ke peringkat kebangsaan.

Selain itu, skim bola sepak seperti ini juga diharap dapat mengatasi masalah kanak-kanak yang terbiar bermain sendirian tanpa tunjuk ajar yang teratur sebagai seorang pemain bola sepak.

Penganjuran skim itu juga dapat melatih kanak-kanak supaya berdisiplin, patuh pada peraturan dan undang-undang sama ada semasa permainan ataupun di luar permainan.

Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata, Skim Akademik Bola Sepak B12/18 itu diadakan ekoran percaya serta yakin perkembangan bola sepak di Mukim Kilanas dapat dipertingkatkan.

Tetamu kehormat menyaksikan kanak-kanak menjalani skim itu di Padang Sekolah Rendah Orang Kaya Setia Bakti Kilanas.
Tetamu kehormat menyaksikan kanak-kanak menjalani skim itu di Padang Sekolah Rendah Orang Kaya Setia Bakti Kilanas.
Suasana ketika berlangsungnya sesi latihan Skim Akademik Bola Sepak Bawah 12 Tahun dan Bawah 18 Tahun.
Suasana ketika berlangsungnya sesi latihan Skim Akademik Bola Sepak Bawah 12 Tahun dan Bawah 18 Tahun.

Menurutnya lagi, penganjuran skim bola sepak itu juga menjadi kenyataan ekoran pengamatan beberapa orang yang prihatin mendapati bahawa di kampung itu terdapat kanak-kanak yang menunjukkan minat mendalam terhadap sukan bola sepak.

“Nampaknya mereka ini perlukan bimbingan dan tunjuk ajar, disiplin serta ketahanan diri, maka akhirnya dapat kita lihat hasil usaha mereka ini dalam menjayakan acara pada petang ini,” ujar beliau.

Pihak penganjur juga berharap supaya program itu dapat menjauhkan kanak-kanak kampung itu daripada budaya lepak, dadah, merokok serta budaya kurang sihat lain, dan sebagai persiapan untuk mewakili kelab atau persatuan masing-masing ke kejohanan di dalam atau luar negara.

Selepas ucapan pengerusi, tetamu kehormat dan jemputan kenamaan yang lain di perkenalkan kepada para jurulatih dan peserta skim akademik bola sepak itu dan latihan yang mereka jalani.

Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan peralatan daripada para penderma yang ingin melihat dan membantu Skim Akademik yang ditubuhkan itu

Skim Akademik Bola Sepak Bawah 12 Tahun dan Bawah 18 Tahun itu dianjurkan bersama oleh Majlis Perundingan Kampung Kilanas, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas, Pasukan bola Sepak Kilanas FC, Veteran Setia Bakti dan Sekolah Rendah Orang Kaya Setia Bakti Kilanas.