Skim bantu pelajar berjaya

Skim bantu pelajar berjaya

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Pelajar Skim Bursari Riayah Wa Mahabbah yang merupakan program kerjasama Kementerian Pendidikan dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) diraikan dalam majlis kesyukuran dan penghargaan di Dewan Sekolah Rendah Pusar Ulak di ibu negara hari ini.

Selain pelajar, majlis turut menghargai dan mengiktiraf sokongan yang diberikan oleh pihak BIBD, warga kementerian, guru-guru, agensi bukan kerajaan dan individu-individu terlibat selama skim itu berjalan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hamper berupa peralatan sekolah kepada pelajar di bawah skim itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan warga Sekolah Rendah Pusar Ulak.

Pemangku Kanan Pegawai Tugas-tugas Khas (Korporat) Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Haji Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh ketika berucap pada majlis itu, mengatakan seramai 40 orang pelajar dalam kalangan pelajar Tahun 6 terpilih memasuki skim itu bagi memaksimumkan impak perkembangan mereka dalam pembelajaran menjelang Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Mereka ini ditempatkan di Asrama Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan disekolahkan di Sekolah Rendah Pusar Ulak bagi mengikuti pembelajaran dan aktiviti-aktiviti yang dijadualkan semenjak bulan Februari lalu, katanya.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan hamper kepada salah seorang murid yang menyertai skim itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan hamper kepada salah seorang murid yang menyertai skim itu.

Menurutnya lagi, skim itu bertujuan bagi menangani isu-isu kehadiran kurang memuaskan dalam kalangan pelajar tersebut dan juga mereka yang memerlukan lebih perhatian dan bantuan untuk menduduki PSR.

Selain menyediakan kemudahan asrama bagi menangani masalah ketidakhadiran ke sekolah, ia juga menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif bagi perkembangan akademik dan pertumbuhan sosial yang baik, tambahnya.

Manakala Ketua Pegawai Asrama Awang Ariffin bin Haji Metussin ketika ditemu bual mengatakan, skim ini telah banyak membuka mata mereka yang terbabit bahawa pelajar-pelajar ini amat memerlukan bantuan untuk mencapai kejayaan.

“Tanpa kita sedar masih terdapat ibu bapa yang kurang peka dengan pendidikan anaknya hingga menyebabkan anaknya tercicir, terkandas dalam menerima pendidikan.

“Sekarang bukanlah masa untuk kita untuk menuding jari mencari punca dan sebab tercicirnya pelajar-pelajar, apa yang penting menjalankan tanggungjawab kita untuk membantu mereka semampu yang boleh kerana pelajar ini juga berhak untuk mendapat masa depan yang cerah seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurutnya, skim ini banyak menyelamatkan pelajar-pelajar daripada terus tercicir dalam pembelajaran dan berharap usaha sama ini akan terus dikekalkan bagi melahirkan lebih ramai generasi berjaya pada masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA