Skim bantu peminjam langsai hutang

Skim bantu peminjam langsai hutang

SINGAPURA, 8 Nov – Satu skim bantuan pembayaran semula hutang (RAS) disediakan bagi membantu individu yang menanggung beban hutang kad kredit dan hutang tanpa cagaran yang lain.

Diperkenalkan Persatuan Bank Singapura (ABS), peminjam dikenakan kadar faedah lebih rendah sebanyak 5 peratus setahun bagi membantu mereka mengurangkan hutang bagi tempoh lapan tahun, lapor akhbar Berita Harian edisi online hari ini.

Kadar itu adalah lebih rendah berbanding kadar 15-24 peratus yang dikenakan bagi pinjaman seperti kad kredit ketika ini.

RAS bertujuan membantu mereka yang terjejas akibat had pinjaman baru yang dikenakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). Sejak 1 Jun lalu, had hutang kad kredit dan tanpa cagaran tidak boleh melebihi 24 kali daripada gaji bulanan bagi tiga bulan berturut-turut.

Ini bermakna peminjam antara lain tidak dapat menggunakan kad kredit bagi pembelian mereka atau mendapatkan kad kredit baru jika ia melebihi had tersebut. Ia terus dihadkan kepada paras 18 kali daripada gaji bulanan dari 1 Jun 2017 dan kepada 12 kali daripada gaji bulanan mulai 1 Jun 2019.

Kaunseling Kredit Singapura (CCS) telah mentadbirkan RAS bagi menyelaras kesemua hutang peminjam dengan bank dan institusi kewangan di bawah RAS.

Sebanyak 14 bank menyertai skim itu termasuk DBS, OCBC, UOB, Maybank, CIMB, Standard Chartered, Citibank, HSBC, RHB, American Express dan Diners Club.

Kebanyakan bank telah menghantar surat kepada individu yang terjejas dengan undang-undang baru itu dan borang RAS. Hanya rakyat dan penduduk tetap (PR) Singapura dengan rekod pembayaran yang baik yang mempunyai gaji kurang $120,000 setahun layak memohon.