Skim baru lebih komprehensif

Skim baru lebih komprehensif

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 17 Jun – Bagi memberigakan Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang berkuat kuasa mulai 1 April 2015 lalu serta tatacara Pemilihan dan Pengundian Calon Ketua Kampung, majlis taklimat mengenainya telah diadakan di Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama mendengar taklimat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohammad Sunadi bin Haji Buntar.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, para pegawai kanan KHEDN serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong.

Di majlis itu, taklimat telah disampaikan oleh Pegawai dari Bahagian Kuasa-kuasa Tempatan, KHEDN, Awang Mohd Kamil Hakim bin Haji Alit/Malek.

Menurut beliau, skim baru bagi menggantikan Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung 1998 ini, merangkumi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga syarat-syarat kelayakan termasuk dari segi kelulusan akademik, tempoh perkhidmatan, tangga gaji, tatacara penilaian prestasi, cuti dan keistimewaan-keistimewaan.

Haji Mohammad Sunadi ketika menyampaikan mukadimah di Majlis Taklimat Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung di Daerah Temburong.
Haji Mohammad Sunadi ketika menyampaikan mukadimah di Majlis Taklimat Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung di Daerah Temburong.
Antara yang hadir di sesi Taklimat Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung yang baru.
Antara yang hadir di sesi Taklimat Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung yang baru.

Di samping itu, ia mengemaskan lagi peranan dan tanggungjawab penghulu mukim dan ketua kampung ke arah yang lebih komprehensif dengan pembaharuan dari segi skim-skim perkhidmatan secara bertingkat dengan kenaikan pangkat tertentu mengikut syarat-syarat yang telah disediakan.

Skim ini, jelas beliau lagi, merupakan tanda pengiktirafan kepada penghulu mukim dan ketua kampung sebagai kepimpinan di peringkat akar umbi agar lebih berkesan dan efektif.

Ini sudah setentunya akan mempertingkatkan lagi peranan, tugas dan tanggungjawab mereka dengan tujuan dan matlamat untuk meningkatkan, mengukuhkan dan memantapkan lagi martabat, kewibawaan, kualiti kepimpinan dan keberkesanan institusi penghulu mukim dan ketua kampung dalam memeduli rakyat dan penduduk di negara ini dan mendukung kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurut beliau lagi, skim ini akan diurus tadbir oleh satu Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang berperanan untuk mentadbir dan mengurus hal ehwal berkaitan dengan penyerapan, kenaikan pangkat, tatatertib dan pengisian jawatan.

Skim yang baru ini akan dapat menjadi rujukan dan garis panduan kepada pihak-pihak berkenaan terutamanya para penghulu mukim dan ketua kampung dalam memahami dan melaksanakan peranan dan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan lebih berkualiti dan berkesan.

Dengan adanya skim yang dikemaskinikan ini juga akan dapat memudahkan lagi penghulu mukim dan ketua kampung menterjemahkan apa jua peranan, tugas dan tanggungjawab yang telah digariskan dalam bentuk tindakan-tindakan yang lebih praktikal, bersistematik, efektif dan komprehensif dan hasilnya nanti diharap akan dapat mencapai matlamat mempertingkatkan dan memantapkan lagi martabat, kewibawaan serta kualiti kepimpinan penghulu mukim dan ketua kampung.

Taklimat Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, serta Tatacara Pemilihan Pengundian Calon Ketua Kampung ini juga akan diadakan di Daerah Belait, Tutong dan Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA