Skim Fellowship ASEAN-AS integrasikan saintis

Skim Fellowship ASEAN-AS integrasikan saintis

BANGKOK, 4 Mei (Bernama) – Jawatankuasa ASEAN Sains dan Teknologi serta Misi Amerika Syarikat (AS) ke ASEAN, hari ini, mengumumkan kumpulan kedua fellowship kepada saintis ASEAN untuk terus memacu perdebatan dasar dan membuat keputusan berasaskan data untuk menangani beberapa isu pembangunan yang amat mencabar di rantau ini.

Fellowship Sains dan Teknologi ASEAN-AS 2015 itu termasuk 14 saintis, dipilih melalui proses yang amat kompetitif, dari Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Kini memasuki tahun kedua, program itu disokong oleh Agensi bagi Pembangunan Antarabangsa AS, menurut Sekretariat ASEAN dalam kenyataan.

Kepentingan kekal tinggi dalam ASEAN untuk mengukuhkan dan menggalakkan penggunaan sains yang didapati terbaik untuk mempengaruhi penggubalan dasar dalam bidang seperti jaminan makanan dan tenaga, biodiversiti, perubahan cuaca, pengurusan bencana yang dekat dengan hati rakyat ASEAN, kata Larry Maramis, Pengarah Direktorat Kerjasama Rentas-Sektor, Sekretariat ASEAN.

Program itu dapat membina keupayaan saintis dari rantau itu untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam integrasi negara masing-masing dalam komuniti ASEAN, katanya.

“Ia menyediakan peluang menarik bagi saintis yang berada pada awal kerjaya dan sedia untuk meneroka bagaimana menggunakan sains untuk penggubalan dasar,” kata Nina Hachigian, Duta AS ke ASEAN.

Mulai minggu depan, Felo akan ditempatkan di kementerian yang menjadi institusi penganjur program itu di negara mereka sendiri selama setahun untuk menyumbang kepakaran mereka dalam bidang biodiversiti, jaminan tenaga, perikanan dan pengurusan pantai.

Semasa orientasi minggu ini, 14 Felo akan berbincang mengenai pendekatan untuk mengintegrasi dalam membuat keputusan berasaskan sains kepada proses menggubal dasar dalam kementerian tersebut.

Mereka juga akan mempunyai peluang untuk menemui enam Felo daripada tahun perintis, yang pada sepanjang tahun lepas, mempengaruhi dasar awam berhubung pengurusan air, pemuliharaan biodiversiti, mengurangkan bencana dan perkongsian bio-sumber.

“Dengan belajar dan melakukan kajian, saya dapat menyumbang kepada komuniti saintifik, tetapi dengan terlibat dalam dasar, saya dapat memberikan sumbangan pengetahuan saya kepada masyarakat dengan lebih luas,” kata Felo Thailand Honglada Thoetkiattikul.

Sepanjang melalui program tersebut, Honglada terlibat dalam pasukan petugas bagi membangunkan cadangan dasar untuk menggalakkan pertukaran sumber genetik dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Matlamat jangka panjang program itu ialah mewujudkan rangkaian saintis di seluruh ASEAN yang bukan sahaja untuk interaksi yang lebih luas antara saintis dan penggubal dasar, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan dasar yang lebih baik, yang memberi impak positif kepada kehidupan rakyat ASEAN.