Skim Fidyah MKM dorong pertingkat semangat pelajar

Skim Fidyah MKM dorong pertingkat semangat pelajar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Bantuan yang dihulurkan seperti Skim Fidyah Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) kepada murid-murid yang memerlukan dipercayai dapat meningkatkan semangat, memberikan dorongan dan motivasi kepada mereka untuk terus berusaha dengan penuh komited, pro-aktif dan inovatif bagi menghasilkan peratus lulus yang cemerlang dalam peperiksaan khususnya dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Usaha itu juga dapat meningkatkan kualiti murid-murid yang memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran, jelas Pemangku Penolong Pengarah dan Ketua Kluster 4, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Mariam binti Haji Ladi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Pengagihan Wang Fidyah dan Sedekah kepada murid-murid dari Sekolah Rendah Tanah Jambu dan Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin (SR SAB) di Dewan Sekolah Rendah Dato Mohd Yasin, Kluster 4, kelmarin.

“Untuk makluman semua, Sekolah Rendah Tanah Jambu dan SR SAB Sungai Besar adalah dua buah sekolah yang dikategorikan sebagai ‘Red Flag schools’ iaitu keputusan PSR yang tidak pernah mencapai gred A ke C 50 peratus ke atas dalam lima tahun kebelakangan iaitu dari tahun 2010-2014.

“Walau bagaimanapun dengan berkat usaha dan kerja keras pemimpin sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid semua, dua buah sekolah ini telah mencapai gred A ke C lebih daripada 50% ke atas pada tahun 2015.”

Hajah Mariam ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Hajah Mariam ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Beliau menyatakan bahawa Sekolah Rendah Tanah Jambu mencapai 55.56 peratus gred A ke C dan Sekolah Rendah SAB Sungai Besar pula mencapai 54.55 peratus yang mana kedua-dua buah sekolah itu kini berada dalam kategori ‘yellow flag schools’.

Hajah Mariam melahirkan keyakinan bahawa dengan adanya bantuan Skim Fidyah MKM, ia akan dapat meningkatkan lagi kecerdasan otak dan fizikal murid-murid dan seterusnya membolehkan mereka memberikan tumpuan dalam pembelajaran mereka dengan penuh semangat dan bermotivasi.

“Dengan pemimpin-pemimpin sekolah yang berdedikasi dan komited, saya penuh percaya, dua buah sekolah ini akan terus berusaha keras dan akan berjaya mencapai kecemerlangan satu hari nanti.”

Terdahulu dalam ucapannya, Hajah Mariam berkata, kajian menunjukkan bahawa orang yang bersarapan secara konsisten dan tetap akan menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif dan akan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.

“Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental.”

Tambahnya lagi, “Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak untuk lebih cergas, peka dan fokus.”

Perkara itu secara tidak langsung akan dapat mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu untuk melaksanakan tugas sama ada di sekolah atau di tempat kerja.