Skim insurans mangsa banjir bakal diperkenalkan

Skim insurans mangsa banjir bakal diperkenalkan

KOTA SAMARAHAN, 3 Jan (Bernama) – Kabinet akan berbincang bagi mengenal pasti langkah terbaik dalam memperkenalkan skim perlindungan insurans kepada mangsa banjir di kawasan berisiko dilanda bencana alam itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata konsep pelaksanaan skim berkenaan sudah dibincangkan pada November lepas, dan kerajaan berharap ia dapat direalisasikan tahun ini.

Beliau berkata hasil perbincangan awal juga bersetuju bahawa kaedah skim perlindungan insurans di kawasan banjir yang diperkenalkan di Kemaman, Terengganu akan diguna pakai.

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu polisi ini diperkenalkan di seluruh negara dan sekarang kita fikir bagaimana premium itu akan dibayar.

“Sama ada dalam bentuk kerajaan bersama rakyat, kerajaan sahaja atau rakyat sahaja,” katanya.

Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan pek makanan permulaan banjir kepada 17 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Suarah Samarahan. - Bernama
Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan pek makanan permulaan banjir kepada 17 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Suarah Samarahan. – Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di pusat pemindahan banjir di Dewan Suarah Kota Samarahan hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Sarawak Kol (PA) Mohtar Samat dan Anggota Parlimen Samarahan Rubiah Wang.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata pengenalan polisi berkenaan diharap dapat membantu mangsa banjir menerima wang insurans mereka sebelum pulang ke rumah masing-masing daripada pusat pemindahan.

“Pada mesyuarat Kabinet itu nanti, kita akan kenal pasti kawasan-kawasan banjir kerana kita nak tengok kesan daripada apa yang kita lakukan.

“Ini kerana, apa-apa yang kita buat melibatkan orang ramai, kita harus hati-hati,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata Ahmad Zahid dijangka melawat Sarawak esok, bagi meninjau persiapan menghadapi banjir di negeri berkenaan.

“Dia (Ahmad Zahid) akan datang esok melawat kawasan terlibat banjir.

“Walaupun keluarga mangsa banjir sudah kembali (ke rumah masing-masing), tujuan utama (Ahmad Zahid melawat Sarawak) adalah agar kita terus bersiap sedia terutama dengan jangkaan Januari dan Februari, cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata Kabinet juga akan menambah baik kaedah pemberian wang ihsan kepada mangsa banjir agar ia dapat diberikan sebelum banjir surut.