Skim Internet tipu pelabur AS$77 juta

Skim Internet tipu pelabur AS$77 juta

TAIPEI, 15 Sept (AFP) – Syarikat pemasaran online yang disyaki palsu yang mendakwa Google dan Yahoo merupakan dalam kalangan rakan perniagaannya telah menipu ribuan pelabur Taiwan iaitu sekitar Tw$2.5 bilion (AS$77 juta) sejak tahun lepas, menurut pihak berkuasa hari ini.

OurPPC, yang mengelar diri mereka syarikat pengurusan bayar setiap klik (pay-per-click), menawarkan individu peluang dalam kata kunci pencarian Internet, mengatakan mereka boleh meraih kira-kira 23 peratus pengembalian dalam masa 50 hari, menurut biro siasatan Kementerian Keadilan.

Dalam satu bidaan untuk meningkatkan bilangan pelabur, kumpulan itu juga menganjurkan jelajah ke Macau pada Julai kepada sesiapa yang telah meletakkan AS$10,000 ke dalam skim itu, dan sekitar 2,400 telah terpedaya, menurut penyiasat.

“Menurut maklumat yang kami terima, kami tidak dapat menyatakan syarikat itu sebenarnya wujud,” kata pegawai dalam jabatan jenayah ekonomi biro berkenaan memberitahu AFP hari ini.

Tambahnya jumlah wang yang diperolehi menerusi skim tipu yang disyaki itu boleh menjadi lebih tinggi lagi.

“Jumlah itu hanya penemuan awal kami,” katanya.

“Kelihatannya wang tersebut telah dipindahkan ke luar negeri.”

Sejauh ini seorang lelaki bernama Lin telah ditahan, sementara tujuh yang lain ditahan kelmarin telah dibebaskan atas ikat jamin.

Dalam laman webnya, OurPPC mengatakan perniagaan asasnya adalah untuk membantu klien memacu trafik ke dalam laman web mereka dengan mengenal pasti kata kunci yang digunakan dalam pencarian Internet.

Ia menyenaraikan ibu pejabatnya di Ann Arbor, Michigan, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya dinamakan sebagai Peter Anderson, seorang graduan dari Universiti Teknologi Wroclaw di Poland.