Skim perkhidmatan perguruan perlu diperbaiki lagi – Zahid Hamidi

Skim perkhidmatan perguruan perlu diperbaiki lagi – Zahid Hamidi

KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius kepada skim perkhidmatan guru sedia ada bagi memastikan skim perkhidmatan profesion itu menjadi lebih baik.

Timbalan perdana menteri berkata pemberian pelbagai bentuk pujian dan pengiktirafan kepada golongan guru melalui sambutan Hari Guru setiap tahun tidak memadai dalam menghargai sumbangan golongan pendidik.

Sebaliknya kebajikan mereka perlu diberi perhatian dengan memberi kepedulian kepada skim perkhidmatan golongan guru, katanya.

“Saya yakin dengan menteri pendidikan sekarang yang berlatar belakangkan guru, sila lakukan sesuatu yang terbaik untuk rakan-rakan guru,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di kampus Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah kelmarin. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman (dua, kiri), Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua,kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan (kiri). – Bernama

Beliau yakin penambahbaikan skim sedia ada boleh dilakukan apabila ekonomi negara pulih kelak.

Ahmad Zahid juga menyarankan agar Kementerian Pendidikan mula melihat secara serius kurikulum silang budaya sebagai subjek di peringkat sekolah rendah dan prasekolah bagi mewujudkan persefahaman budaya, agama dan kaum yang lebih mendalam dalam kalangan pelajar berbilang kaum di negara ini.

Katanya melalui subjek silang budaya yang dididik daripada peringkat persekolahan rendah itu, semangat perpaduan sebenar dapat dipupuk dan dimantapkan dalam kalangan rakyat negara ini.

Mengambil contoh hasil pemerhatian beliau sendiri di universiti, Ahmad Zahid berkata interaksi antara kaum, budaya dan agama di institusi pengajian tinggi masih rendah dengan setiap kaum lebih cenderung dan selesa bercampur dengan kaum masing-masing.