SKM sasar perolehan RM50b menjelang 2020

SKM sasar perolehan RM50b menjelang 2020

REMBAU, 24 Mac (Bernama) – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan untuk mencapai perolehan sebanyak RM50 bilion menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu, kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Lamien Sawiyo, SKM perlu melipatgandakan usaha bagi mencapai sasaran itu selepas meraih perolehan sebanyak RM30 bilion pada tahun 2015.

“Kita masih ada empat tahun lagi (untuk mencapai sasaran RM50 bilion) dan saya yakin kita mampu mencapainya.

“Malah, SKM turut memberi galakan kepada koperasi untuk terus terlibat dalam aktiviti ekonomi yang boleh menyumbang kepada perolehan sektor koperasi negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian hab halal Gerakan Koperasi Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah SKM Negeri Sembilan Zakaria Mat Jusoh.

Mengulas lanjut, Lamien berkata pihaknya turut melaksanakan langkah lain bagi mencapai sasaran itu termasuk pembabitan 40 koperasi cemerlang di seluruh negara yang kini dalam proses menyediakan satu pelan tindakan hala tuju bagi 2020.

SKM juga dalam proses memuktamadkan pelan tindakan bagi tiga sektor, termasuk mengadakan makmal bagi tujuan berkaitan.

“Ia membabitkan sektor pemborongan dan peruncitan, sektor pertanian dan industri asas tani, sektor kewangan koperasi kredit dan juga koperasi bank termasuk Bank Rakyat dan bank persatuan.

“Ini termasuk rancangan satu atau dua koperasi yang boleh dinaiktaraf sebagai bank koperasi,” katanya.

Pelan tindakan bidang lain iaitu perladangan, hartanah, pelancongan dan kesihatan pula dalam proses untuk disiapkan.

Lamien menyifatkan pelan tindakan itu membolehkan pihaknya mendapat hala tuju lebih jelas mengenai perancangan koperasi bagi kemajuan masa depan serta mengenal pasti bantuan yang boleh disalurkan SKM.

Malah, SKM turt menyediakan insentif seperti pinjaman mudah dan geran sepadan kepada koperasi yang mahu menceburi aktiviti perniagaan dan ekonomi.

“Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memberi peruntukan sebanyak RM50 juta pada tahun ini untuk SKM menggiatkan lagi bidang pemborongan, peruncitan serta pelancongan,” katanya.

Setakat ini ada sebanyak 12,500 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.5 juta manakala asetnya berjumlah RM130 bilion.