Skrin pintar jimat bateri

Skrin pintar jimat bateri

 

pg19_151125_bLONDON, 24 Nov (Agensi) – Seorang saintis Britain mencipta bahan baharu bagi menggantikan kaca pada skrin gajet elektronik yang dapat membantu menjimatkan penggunaan bateri sehingga 90 peratus.

Menurut portal Mail Online, ciptaan baharu itu membolehkan telefon pintar, komputer tablet, dan jam pintar hanya dicas sekali dalam seminggu.

“Penemuan itu amat penting kerana lebih 90 peratus kuasa bateri diperlukan untuk menyalakan skrin pada peranti elektronik.

“Syarikat teknologi telah memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan jangka hayat bateri, namun pakar-pakar Britain berpendapat, menangani penggunaan kuasa bateri boleh memberikan hasil yang lebih baik,” kata laporan tersebut.

Jurutera Universiti Oxford, Dr. Peiman Hosseini yang mencipta bahan tersebut berkata, inovasinya itu menggunakan denyutan elektrik untuk mencipta paparan yang tidak memerlukan kuasa dan boleh dilihat walaupun di bawah pancaran cahaya matahari.

Hosseini menerusi syarikatnya, Bodle Technologies, turut berharap untuk memiliki prototaip bahan ciptaan terbaharu itu dalam tempoh setahun lagi.

Jangka hayat bateri merupakan antara isu utama dalam penghasilan teknologi moden kerana inovasi penciptaan gajet canggih berkembang dengan pesat sejak kebelakangan ini, namun tidak sejajar dengan kuasa bateri yang disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA