Skrtel selesa di Anfield

Skrtel selesa di Anfield

LONDON, 13 Julai (Agensi) – Sejurus menandatangani kontrak lanjutan bersama Liverpool Jumaat lalu, pertahanan Martin Skrtel memberitahu Liverpoolfc.com mengapa dia menjadikan kariernya di Anfield sebagai satu keutamaan.

Pertahanan tengah Slovakia itu berehat seketika daripada latihan pra-musim untuk melanjutkan kontraknya bersama Reds.

Skrtel berkata, tidak sukar baginya untuk bersetuju dengan tawaran dikemukakan Liverpool apatah lagi dia dan keluarganya selesa tinggal di bandar itu.

Pemain berusia 30 tahun itu juga mahu mencapai tempoh khidmat sedekad bersama kelab berkenaan dan tidak sabar menjejakkan kaki ke padang memulakan musim baru.

“Ia adalah keputusan menggembirakan buat saya dan keluarga kerana kami sudah tujuh setengah tahun di sini. Kami semakin sukakan bandar dan penduduk Liverpool.

Skrtel terus bersama Liverpool kerana selesa beraksi di Anfield. – Reuterts
Skrtel terus bersama Liverpool kerana selesa beraksi di Anfield. – Reuterts

“Anak lelaki saya lahir di Liverpool dan saya sukakan kelab ini, penyokong dan mereka yang bekerja di Anfield. Tidak sukar untuk saya terus bermain di kelab sebegini.

“Adalah penting untuk saya menyelesaikan segera masalah kontrak ini kerana apabila ia siap ditandatangani, saya boleh menumpukan perhatian kepada tugas dan musim baru yang bakal menjelma.

“Saya gembira dapat menyelesaikannya sebelum memulakan jelajah dan saya sudah boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab saya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA