Skrtel terpaksa berehat enam minggu

Skrtel terpaksa berehat enam minggu

LONDON, 23 Dis (AFP) – Tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel terpaksa berehat selama enam minggu selepas mengalami kecederaan hamstring dan tendon.

Skrtel terhencut-hencut dibawa keluar pada babak pertama ketika Liverpool tewas 0-3 di tangan Watford, Ahad lalu dan imbasan menunjukkan hamstringnya dan direhatkan sehingga Februari.

Ketiadaan bek tengah dari Slovakia itu pasti akan menambah kerunsingan buat pengurus Jurgen Klopp memandangkan skuad The Reds belum lagi menemui rentak.

Pasukan Merseyside itu menduduki tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir.

Di sebelah gambar singa, pemain berusia 31 tahun itu menulis di Instagram: “Selepas khabar angin bertiup kencang, saya ingin menyatakan masa saya di tepi garisan bukanlah tiga bulan … selepas koyak hamstring dan tendon saya akan berehat selama enam minggu …

Skrtel dibawa keluar padang selepas cedera semasa menentang Watford di Vicarage Road, kelmarin. – Reuters
Skrtel dibawa keluar padang selepas cedera semasa menentang Watford di Vicarage Road, kelmarin. – Reuters

“Saya akan bekerja keras untuk proses pemulihan kecederaan saya ini dan kembali beraksi secepat mungkin. Malah, lebih kuat berbanding sebelum ini,” kata Skrtel menerusi laman sosial Instagram.

Pemain berusia 31 tahun itu adalah tonggak utama Liverpool musim ini dengan dia beraksi pada setiap perlawanan.

Rehat enam minggu yang akan dilalui Skrtel menyaksikan dia bakal terlepas perlawanan menentang Leicester City, Sunderland, West Ham United, Arsenal, Manchester United dan Norwich City.

Liverpool sebelum ini sudah pun kehilangan khidmat tonggak pertahanan tengah, Dejan Lovren kerana masalah kecederaan.

ARTIKEL YANG SAMA