Skru tayar punca pasukan Ferrari kalah

Skru tayar punca pasukan Ferrari kalah

SPIELBERG, 23 Jun (Agensi) – Pasukan Formula Satu (F1), Ferrari menyalahkan masalah skru tayar sebagai punca kegagalan pelumba mereka, Sebastian Vettel untuk mendapat tempat di podium di perlumbaan Grand Prix Austria pada Ahad.

Vettel mendahului perlumbaan yang turut disaksikan oleh Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne tetapi kehilangan banyak masa apabila pasukan mekanik menghadapi masalah untuk menukar tayar sebelah kanan jentera tersebut.

Pelumba kelahiran Jerman itu kembali semula di dalam perlumbaan di kedudukan keempat tetapi gagal untuk melepasi pelumba Williams, Felipe Massa dan terlepas peluang untuk mendapatkan kedudukan podium yang keenam daripada lapan perlumbaan.

Ketua pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene berkata masalah itu bukanlah kali pertama berlaku dan menggesa pasukannya supaya perkara itu tidak berlaku lagi.

Sebastian Vettel memeriksa keretanya selepas perlumbaan F1 Grand Prix Austria di litar Red Bull Ring di Spielberg tamat kelmarin. – Reuters
Sebastian Vettel memeriksa keretanya selepas perlumbaan F1 Grand Prix Austria di litar Red Bull Ring di Spielberg tamat kelmarin. – Reuters

“Ia bukan masalah pasukan mekanik tetapi masalah kami sendiri dan kami harus memastikan masalah itu diselesaikan.

“Sebastian memulakan perlumbaan dengan baik tetapi sekali lagi kami melepaskan peluang untuk mendapat tempat di podium disebabkan masalah yang remeh itu.

“Bagi saya ini adalah sesuatu yang sukar untuk diterima jadi masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin,” kata Maurizio.

Bekas juara dunia empat kali yang menyertai Ferrari dari pasukan Red Bull kekal di kedudukan ketiga bagi merebut kejuaraan musim ini di belakang pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.