Skuad AS, peminat rai kemenangan

Skuad AS, peminat rai kemenangan

LOS ANGELES, 8 Julai (AFP) – Beribu-ribu peminat yang bersorak-sorai menjadikan sebahagian pusat bandar Los Angeles lautan merah, putih dan biru semalam ketika meraikan kemenangan AS dalam kejohanan Piala Dunia Wanita.

Orang ramai yang mengibarkan bendera dan melaungkan ‘U-S-A, U-S-A’ mula tiba di luar arena Staples Center seawal jam 5 pagi bagi mendapatkan tempat utama di hadapan pentas menyambut wirawati bola sepak kesayangan mereka selepas mencatat rekod menjulang Piala Dunia ketiga dan pertama dalam tempoh 16 tahun.

“Setiap hari kami memanggil diri kami juara tanpa jemu,” kata pemenang Bola Emas Carli Lloyd kepada orang ramai.

Lloyd berjaya melengkapkan hatrik ketika AS mengasak dengan penuh semangat untuk mendahului empat gol dalam 16 minit pertama semasa membelasah Jepun 5-2 pada perlawanan akhir di Vancouver.

“Saya tahu 1999 adalah titik tolak yang besar bagi bola sepak wanita,” kata Lloyd. “Kami baru sahaja melakar sejarah. Tidak ada masa yang lebih hebat daripada memenangi Piala Dunia.”

Abby Wambach (kanan) bersama rakan menghargai sokongan peminat di Live Plaza Los Angeles semasa meraikan kemenangan Piala Dunia Wanita semalam. – AFP
Abby Wambach (kanan) bersama rakan menghargai sokongan peminat di Live Plaza Los Angeles semasa meraikan kemenangan Piala Dunia Wanita semalam. – AFP
Midfield Carli Lloyd menjulang trofi Piala Dunia sambil disaksikan oleh penjaga gol mereka Hope Solo. – AFP
Midfield Carli Lloyd menjulang trofi Piala Dunia sambil disaksikan oleh penjaga gol mereka Hope Solo. – AFP
Wirawati Amerika (dari kiri) Meghan Klingenberg, Julie Johnston, Becky Sauerbrunn, Ali Krieger dan Hope Solo bercakap kepada peminat. – AFP
Wirawati Amerika (dari kiri) Meghan Klingenberg, Julie Johnston, Becky Sauerbrunn, Ali Krieger dan Hope Solo bercakap kepada peminat. – AFP

Dua hari selepas merangkul mahkota dunia, pesta masih berterusan ketika pasukan terbang ke Los Angeles selepas kemenangan bersejarah mereka. Perjalanan seterusnya adalah ke New York untuk perhimpunan lain dan perarakan ‘Canyon of Heroes’.

Para pemain naik ke pentas di hadapan kira-kira 4,000 orang selepas jam 11 pagi sambil menari, menyanyi, menyampaikan ucapan dan mengambil gambar.

Para penjual pula menawarkan cenderahati seperti baju, seluar pendek dan topi, para peminat berselimutkan bendera dan memakai pakaian putih, biru dan merah sementara yang lain memegang sepanduk bertulis ‘Long Live Queens’ dan ‘Party Like It Is 1999’.

Wendy Lopez adalah salah seorang peminat pertama yang tiba jam 5:30 pagi. Beliau meninggalkan rumahnya di Palm Springs dua jam lebih awal untuk pemanduan jauh dan berkata terdapat kira-kira 15 orang sudah ada apabila dia dan kawan-kawannya mengambil kedudukan di barisan hadapan.

“Saya berdoa kami akan menang. Saya mahu mereka pulang dengan trofi,” kata Lopez.

Anahi Lopez, 23, yang mengambil cuti daripada kerja bank untuk menghadiri perhimpunan tengah hari itu berkata: “Ini adalah kemenangan yang besar kerana kami belum pernah menang dalam 16 tahun,” katanya.

Orang ramai membanjiri Live Plaza di Los Angeles bagi meraikan kejayaan skuad AS yang berjaya merangkul Piala Dunia Wanita buat kali ketiga. – AFP
Orang ramai membanjiri Live Plaza di Los Angeles bagi meraikan kejayaan skuad AS yang berjaya merangkul Piala Dunia Wanita buat kali ketiga. – AFP
Seorang penyokong memegang sepanduk menggesa bayaran sama rata untuk atlet wanita ketika meraikan kemenangan skuad Piala Dunia Wanita AS di Los Angeles semalam. – AFP
Seorang penyokong memegang sepanduk menggesa bayaran sama rata untuk atlet wanita ketika meraikan kemenangan skuad Piala Dunia Wanita AS di Los Angeles semalam. – AFP
Peminat berselfie semasa meraikan kemenangan pasukan Piala Dunia Wanita AS. – AFP
Peminat berselfie semasa meraikan kemenangan pasukan Piala Dunia Wanita AS. – AFP

Pertahanan Christie Rampone berkata, adalah amat mengagumkan mendapat peluang untuk menyaksikan kegembiraan pada wajah-wajah peminat AS dari dekat selepas memenangi gelaran di Vancouver.

“Anda dapat merasakannya di Kanada tetapi pulang ke tanah air seperti ini amat luar biasa,” kata Rampone.

Pemain tengah Megan Rapinoe, satu-satunya tinggalan daripada skuad pemenang Piala Dunia 1999 berkata, dia boleh mendengar orang ramai bersorak-sorai dari bilik hotel.

“Mendapat peluang meraikan kejayaan bersama mereka dengan cara yang tidak formal begitu luar biasa,” katanya. “Kami tidak tahu berapa ramai yang akan berada di sini dan menyaksikan ramai orang muncul di sini begitu mengujakan.”

Satu-satunya berita sedih daripada sambutan ini ialah apabila pemain tengah veteran Lauren Holiday menangis selepas perhimpunan kerana dia akan bersara.

“Ini bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata,” kata Holiday. “Saya telah memberikan segala-galanya untuk sukan ini dan untuk pasukan. Saya sangat gembira. Ini bukan air mata sedih.”

Holiday berkata dia mahu memulakan kehidupan berkeluarga tetapi berharap untuk kekal bersama sukan bola sepak sebagai seorang jurulatih.

“Matlamat kami adalah untuk mengembangkan permainan dan selepas memenangi Piala Dunia seperti ini kita akan dapat melakukannya,” kata Holiday, yang menjaringkan gol pada minit ke-14 perlawanan akhir.

ARTIKEL YANG SAMA