Skuad B-15 berlepas ke Kejuaraan AFC

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Pasukan Kebangsaan Bawah 15 tahun (B-15) dilihat bersedia bagi menghasilkan persembahan terbaik dalam kelayakan Kejuaraan B-16 Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang akan berlangsung di Chinese Taipei minggu ini.

Pasukan negara telah berlepas ke Chinese Taipei hari ini dan akan bermain bagi perlawanan persahabatan esok menentang Akademi Chelsea Taipei sebelum perlawanan pembukaan Kumpulan F menentang Macau Sabtu ini.

Mereka kemudian berdepan dengan pasukan tuan rumah, Chinese Taipei Isnin depan sebelum bertemu Korea Utara pada hari Rabu dan Hong Kong pada hari Jumaat.

“Kami tidak sabar untuk membuat persembahan terbaik di Chinese Taipei,” kata ketua jurulatih, Stephen Ng.

“Para pemain telah bekerja keras dalam latihan selepas kejohanan AFF di Thailand dan kini kekal fokus untuk bermain dengan baik dalam empat perlawanan akan datang,” tambahnya.

Barisan pemain dan jurulatih bergambar bersama Haji Madli dan para pegawai NFABD yang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – NFABD

Brunei bersaing di Kejuaraan B-15 AFF di Thailand pada bulan Julai lalu dan memperoleh kemenangan pertama negara dalam kejohanan itu dengan menewaskan Kemboja 2-0.

Bersaing dalam kejohanan antarabangsa pertama mereka, pasukan kembali dengan rekod lima mata daripada satu menang dan dua seri.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli Haji Mohd Yussof dan Pemangku Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Pemenang dari 10 kumpulan dan lima pemenang kedua terbaik dalam kelayakan ini akan mara ke kejohanan tahun depan (Kejuaraan B-16 AFC 2018) bersama dengan negara tuan rumah, Malaysia.

Sementara itu, empat pasukan teratas Kejuaraan B-16 AFC 2018 akan layak bagi Piala Dunia B-17 FIFA 2019 sebagai wakil AFC.