Skuad B18 tewas

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN,13 Sept – Pasukan Bawah 18 Tahun (B-18) Negara Brunei Darussalam tewas kepada Indonesia dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B di Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) B-18 2017 di Yangon, Myanmar.

Indonesia yang perlu memperoleh gol besar bagi memastikan mereka mara ke separuh akhir kejohanan terpaksa bekerja keras di separuh masa kedua bagi menentukan sama ada mereka bertemu Thailand atau Malaysia.

Pujian perlu diberikan kepad pasukan negara kerana terus memberikan saingan kepada Indonesia di separuh masa kedua meskipun sudah ketinggalan 6-0 di separuh masa pertama, dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Thuwanna, Yangon hari ini.

Antara aksi perlawanan antara Brunei Darussalam menentang Indonesia di Stadium Thuwanna, Myanmar. – Myanmar FA

Pada babak kedua, di mana Indonesia perlu menjaringkan dua gol lagi, pasukan negara memberikan saingan hebat namun ditembusi juga bagi gol ketujuh Indonesia dan ketika perlawanan berbaki 10 minit, Indonesia melengkapkan kemenangan.

Apa pun, pujian perlu diberikan kepada jurulatih Takao Fujiwara kerana mengatur skuad sebaiknya pada babak kedua selain aksi hebat penjaga gawang gol, Awangku Mohamad Amirul Hakim yang bertindak cemerlang mematahkan asakan lawan.