Skuad Chennai sertai Veteran, Grand Masters

Skuad Chennai sertai Veteran, Grand Masters

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Persatuan Bola Sepak Veteran (VFA) Brunei Darussalam sekali lagi akan menganjurkan kejohanan 6th Brunei 7’s International Soccer Challenge 2015, yang akan berlangsung pada 7 dan 8 November 2015, bertempat di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Berakas, di ibu negara.

Seperti juga kejohanan-kejohanan lalu, pada kali ini turut menampilkan beberapa buah pasukan luar negeri dan tempatan yang akan bertarung dalam dua kategori iaitu Veteran (40 tahun ke atas) dan Grand Masters (50 tahun ke atas). Yuran penyertaan pula adalah $500 dan hadiah kemenangan pula adalah $2,000 (Johan) dan $1,000 (Naib Johan) bagi kedua-dua kategori.

Sehingga ini beberapa buah pasukan luar negeri sudah mengesahkan penyertaan mereka seperti HM FC dari Johor Darul Takzim, yang merupakan juara bertahan Grand Masters, Fazco FC dan BNG Veteran dari Sarawak serta Malar Veteran FC dari Chennai, India yang akan membawa para pemain untuk Veteran dan Grand Masters. Manakala pihak VFA masih menantikan maklum balas dari beberapa buah pasukan dari Thailand. Singapura, Indonesia dan Filipina bagi memeriahkan lagi kejohanan kali ini.

Pasukan-pasukan tempatan pula tidak ketinggalan menyahut cabaran tahun ini apabila telah bersedia dari awal lagi dengan mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan sesama mereka. Pasti mengesahkan penyertaan mereka adalah XN FT, Al Idrus, PSJD, Stoneville FC, Rimba Star FC, MIISA United FC, MIX FT, Pondok 12, I Team, RB Dreamliner dan dua buah pasukan pendatang baru iaitu Fun FC dan Kilugus FC.

Bagaimanapun, penyertaan masih dibuka kepada pasukan-pasukan yang ingin menyertai kejohanan bola sepak 7 orang sepasukan veteran ini yang sudah menjadi salah satu kejohanan berprestij bukan sahaja di kepulauan Borneo ini malah di rantau Asia Tenggara. Kepada mereka yang berminat untuk menyertainya bolehlah menghubungi Awang Jabar Ithnin (8820062) selaku Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Kejohanan, atau melalui e-mel – vfasecgen@gmail.com.

Print

ARTIKEL YANG SAMA