Skuad Fours negara mara ke final

Skuad Fours negara mara ke final

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Skuad Fours Lelaki Brunei Darussalam mengatasi kegugupan tertinggal jauh 7-11 selepas End 9 sebelum menang tipis di End 16 dan terakhir untuk mengalahkan Fours Lelaki Malaysia 16-15 sekali gus mara ke final menentang India esok (1 Februari).

Kedudukan cerah buat skuad Fours lelaki negara apabila mula mendahului 14-12 selepas End 13 tetapi Fours Lelaki Malaysia merapatkan jurang kepada 13-14 selepas End 14 sebelum merampas semula pendahuluan pada End 15 dengan kiraan 15-14.

Brunei Darussalam perlu memenangi End 16 dan terakhir sambil mengutip sekurang-kurangnya dua mata dan itulah yang berjaya mereka lakukan sekali gus menyebabkan para pemain Fours lelaki negara berlari, mengangkat tangan dan berpelukan sesama mereka meraikan kemenangan sukar berkenaan.

Atas kertas, skuad Fours lelaki negara dilihat sebagai pilihan untuk menang kerana mudah menewaskan Fours Lelaki Malaysia 21-11 di peringkat kumpulan, namun ternyata debaran separuh akhir sangat berbeza sehingga menyebabkan perlawanan berlangsung sengit.

Pada perlawanan separuh akhir itu kedudukan adalah seperti berikut: Brunei 3-0 Malaysia selepas End 1, 3-2 selepas End 2, 3-4 selepas End 3, 3-7 selepas End 4, 5-7 selepas End 5, 5-9 selepas End 6, 7-9 selepas End 7, 7-10 selepas End 8, 7-11 selepas End 9, 11-11 selepas End 10, 11-12 selepas End 11, 12-12 selepas End 12, 14-12 selepas End 13, 14-13 selepas End 14, 14-15 selepas End 15 dan 16-15 selepas End 16.

Skuad Fours lelaki negara ini akan menentang India dalam perlawanan akhir.
Skuad Fours lelaki negara ini akan menentang India dalam perlawanan akhir.

Skuad Fours Lelaki India pula mengiringi Fours Lelaki ke final hanya beberapa minit kemudian selepas menang 18-14 ke atas Thailand di gelanggang sebelah.

Skuad Fours Lelaki Brunei diwakili oleh Pengiran Haji Mohd Salleh Chuchu bin Pengiran Haji Tuah, Mohd Ali bin Haji Bujang, Mohd Israt Amiruddin bin Haji Abdul Ghani dan Mohd Huziami bin Mohd Salleh

Manakala atlet perseorangan lelaki negara, Abdul Rahman bin Haji Omar yang meraih gangsa pada Edisi 2014, terlepas untuk memasuki separuh akhir selepas tewas 16-21 kepada pemain perseorangan lelaki Hong Kong dalam play off pada sebelah pagi tadi.

Kejohanan Boling Padang Asia Ke-11 dan Kejohanan Boling Padang Bawah 25 Tahun Ke-9, 2016 Brunei Darussalam di Kompleks Boling Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu akan menutup tirainya esok, Isnin, 1 Februari dengan empat perlawanan akhir.

Pada sebelah pagi akan berlangsung final untuk Pairs dan Triples Wanita, manakala sebelah petangnya akan diadakan perlawanan akhir untuk Singles dan Fours Lelaki, sebelum diteruskan dengan Majlis Penyampaian Pingat. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA