Skuad Harimau Malaya mungkin dirombak lagi

Skuad Harimau Malaya mungkin dirombak lagi

PETALING JAYA, 18 Jun (Bernama) – Rombakan kedua mungkin dilakukan ke atas skuad Harimau Malaya selepas diaibkan 0-6 pada perlawanan kumpulan A kempen Kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Palestin, Selasa lepas.

Rombakan sebelum ini pernah dibuat oleh ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh selepas skuad bimbingannya menentang Tottenham Hotspurs dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata satu mesyuarat akan diadakan petang ini untuk membincangkan mengenai prestasi merudum skuad kebangsaan pada aksi menentang Timor Leste dan Palestin pada 11 dan 16 Jun.

“Tewas 6-0 ialah satu saat paling sukar bagi saya sepanjang saya terlibat dalam bola sepak dan saya sendiri tidak boleh terima.

“Petang ini, saya ada mesyuarat dengan Dollah sendiri. Biar Dollah dan pegawai teknikal yang akan buat penilaian kepada para pemain,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangan memorandum persefahaman antara FAM dan Liga J (J.League) di Wisma FAM, Khamis.

Reaksi Dollah Salleh selepas pasukannya tewas kepada Palestin 0-6 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil kelmarin. – Bernama
Reaksi Dollah Salleh selepas pasukannya tewas kepada Palestin 0-6 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil kelmarin. – Bernama

Menurut Hamidin, rombakan yang akan dibuat kali ini juga berkemungkinan mengambil kira untuk memilih pemain yang lebih muda yang dilihat berpotensi dan menunjukkan prestasi yang baik untuk diserap dalam skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Hamidin yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata kedudukan Dollah masih kekal namun ia bergantung kepada Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA