Skuad negara ke separuh akhir

Skuad negara ke separuh akhir

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Brunei Darussalam mara ke separuh akhir Kategori Kuadran di Kejohanan Sepak Takraw 5 Negara 2016 yang juga diselaraskan dengan Kejohanan Sepak Takraw Piala Dato’ Haji Ahmad Ismail siri 1/2016 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada perlawanan pertama menentang regu kuadran Singapura, skuad negara berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 dengan mata 21-19, 21-16, tapi tewas pada perlawanan kedua apabila menentang Malaysia B 2-0 dengan mata 21-15, 21-5.

Walau bagaimanapun, satu kemenangan tersebut sudah mencukupi bagi skuad negara untuk memasuki peringkat separuh akhir yang akan diadakan besok.

Pengurus Pasukan, Awang Mohd Isa bin Haji Marsidi ketika dihubungi memberitahu media akan pencapaian skuad kuadran negara yang antaranya disertai Awang Mohd Selamat Yakub, Awang Mohd Aliffuddin Jamaludin, Awang Abdul Hadi Ariffin Matali, Awang Zatie Hidayat Sardi dan Awang Mohd Syukri Jaineh diiringi Jurulatih Regu Sepak Takraw Kebangsaan, Rawat Parbchompoo dan Penolong Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan, Awang Jafar bin Mohd Wali.

Kejohanan berkenaan berlangsung bermula 10 hingga 13 Januari di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur menampilkan penglibatan dua pasukan tuan rumah Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam dan Singapura yang bersaing dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu Regu Trio (tiga pemain) dan Regu Kuadran (empat pemain).

Barisan pemain negara yang mengikuti kejohanan itu.
Barisan pemain negara yang mengikuti kejohanan itu.

Terdahulu pada 10 Januari lalu, dalam Regu Trio Brunei ditempatkan bersama Regu Filipina dan Malaysia B dalam Kumpulan A , Singapura, Indonesia dan Malaysia A dalam Kumpulan B dan bagi Regu Kuadran pula Brunei juga dalam Kumpulan A bersama Regu Singapura dan Malaysia B sementara Filipina, Malaysia dan Indonesia dalam kumpulan B.

Pada acara tersebut, Regu Malaysia B tewas kepada Regu Filipina 2-0 dengan mata 14-21, 13-21, Singapura tewas di tangan Indonesia 1-2 dengan mata 16-21, 21-13, 12-21, Brunei tewas di tangan Filipina 1-2 dengan mata 23-22, 20-22, 20-22.

Malaysia A menewaskan regu Singapura 2-0 dengan mata 21-16, 21-18, Malaysia B menewaskan Brunei Darussalam 2-0 dengan mata 21-12, 21-14, Malaysia A menewaskan Indonesia 2-0 dengan mata 23-21, 21-17 dan hasil keputusan itu Filipina, Indonesia, Malaysia A dan Malaysia B mara ke separuh akhir.

Separuh akhir berlangsung pada 11 Januari menyaksikan Filipina menewaskan Indonesia 2-0 dengan mata 21-8, 21-12 dan Malaysia A menewaskan Malaysia B 2-0 sebelum pertembungan di peringkat akhir antara Filipina berhadapan Malaysia A yang akhirnya dimenangi Malaysia A 2-0 dengan mata 23-21, 21-12.