Skuad negara mulai saingan

Skuad negara mulai saingan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Skuad Sepak Takraw Kebangsaan Brunei Darussalam kini berada di Kuala Lumpur, Malaysia bagi menyertai Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa 2016.

Mereka yang terdiri daripada lima orang pemain dan tiga orang pegawai termasuk pengurus pasukan, Awang Mohd Isa bin Haji Marsidi, ketua jurulatih, Rawat Parbchompoo dan penolong jurulatih telah pun berlepas meninggalkan tanah air kelmarin.

Hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat jalan dan selamat berjaya kepada mereka ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU), Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran DSLJ Haji Abbas.

Brunei Darussalam akan menyertai acara Lelaki Regu dan Lelaki Quadrant. Dalam acara Lelaki Regu, Brunei Darussalam terundi bersama Filipina dan Malaysia B dalam Kumpulan A, manakala dalam acara Lelaki Quadrant, skuad negara akan berentap dengan Singapura dan Malaysia B dalam Kumpulan A.

Kumpulan B acara Lelaki Regu pula mengandungi Singapura, Indonesia dan Malaysia A, sementara Kumpulan B acara Lelaki Quadrant dibarisi Filipina, Malaysia A dan Indonesia.

Dalam perlawanan sebelah petang ini tadi, skuad negara telah menentang Filipina dalam acara Lelaki Regu dan dalam perlawanan itu Brunei Darussalam bersaing sengit dengan memenangi set pertama 23-21 sebelum tewas 20-22 di set kedua dan kalah 20-22 di set penentuan.

Semasa berita ini ditulis, Brunei Darussalam masih lagi berentap dengan Malaysia B dalam acara Lelaki Regu.

Esok, para pemain negara akan beraksi dalam acara Lelaki Quadrant bermula dengan menentang Singapura pada pukul 4:30 petang dan kemudian melawan Malaysia B pada pukul 8:00 malam.