Skuad Tabuan berlepas ke Tawau

Skuad Tabuan berlepas ke Tawau

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Skuad Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kini berada di Tawau, Sabah bagi menyertai Perlawanan Bolasepak Jemputan SAFA Tawau 2016.

Sehubungan dengan itu, para pemain negara dan pegawai pengiring mereka telah berlepas menuju Kota Kinabalu, Sabah akhir malam tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Delegasi seramai 27 orang itu terdiri daripada 20 pemain Indera SC, Kasuka FC, Jerudong FC, Tabuan Muda dan IKLS dan tujuh pegawai diketuai Penolong Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku pengurus pasukan. Ikut sama ialah Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas dan berjaya kepada mereka ialah Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

Skuad bola sepak kebangsaan bersama Haji Muhd Zamri sebelum berlepas ke Sabah bagi menyertai Perlawanan Bolasepak Jemputan SAFA Tawau 2016.
Skuad bola sepak kebangsaan bersama Haji Muhd Zamri sebelum berlepas ke Sabah bagi menyertai Perlawanan Bolasepak Jemputan SAFA Tawau 2016.

Dalam perlawanan yang dibawakan khas oleh Persatuan Bolasepak Daerah Tawau (SAFA Tawau) dan disokong oleh Persatuan Bolasepak Malaysia berkenaan, skuad Tabuan bimbingan Ketua Jurulatih, Kwon Oh Son akan berdepan dengan Sabah dan Felda United.

Brunei Darussalam akan memulakan aksinya menentang Sabah esok (29 Januari), disusuli dengan Felda United keesokan harinya iaitu pada 30 Januari. Pertembungan antara Felda United dengan Sabah pada 31 Januari akan menjadi penutup tirai perlawanan jemputan berkenaan.

Sepak mula bagi ketiga-tiga perlawanan berkenaan akan bermula pada pukul 8:00 malam dan akan mengambil tempat di Stadium Utama, Kompleks Sukan Tawau, Sabah.

Perlawanan jemputan itu mengenakan bayaran tiket bagi mereka yang ingin menyaksikannya iaitu RM15.00 bagi tempat duduk berbumbung dan RM10.00 bagi tempat duduk terbuka, yang boleh mula didapati pada 29 Januari di Kompleks Sukan Tawau, SG Futsal dan Al Ikhsan Sports.